Followers

Thursday, November 19, 2009

Banjir di Kedah semakin pulih

ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di tiga daerah di Kedah berkurangan tengah hari ini apabila seramai 177 daripada 1,341 orang di pemindahan banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, setakat ini bilangan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan ialah sebanyak 1,164 orang berbanding 1,341 orang petang semalam.

Banjir di daerah Kubang Pasu pulih sepenuhnya apabila 64 orang mangsa daripada 12 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Penduduk yang terbabit dengan banjir di Daerah Kota Setar pula berkurangan kepada 866 orang daripada 249 keluarga. Mereka ditempatkan di enam pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan Gunong (567 orang), Sekolah Kebangsaan Titi Gajah (80 orang) dan Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Siddiq (68 orang).

Dua lagi pusat pemindahan iaitu Surau Kampung Pulau Binjal menempatkan 31 orang dan Tabika Telok Kandis pula menempatkan 26 orang.

Di daerah Pokok Sena pula, seramai 24 orang mangsa banjir daripada 10 buah keluarga masih ditempatkan di Dewan Lubuk Keriang manakala di Bandar Baharu seramai 299 orang daripada 71 keluarga masih ditempatkan di empat buah pusat pemindahan.

Bacaan paras air Sungai Titi Haji Idris di Kota Setar masih melebihi paras bahaya iaitu 2.47 meter (paras bahaya 2.15 meter) manakala sungai lain pada paras waspada. - Bernama

0 comments: