Followers

Thursday, November 19, 2009

Sabah & Sarawak: 41 pusat pemindahan mangsa banjir dikenal pasti

KOTA KINABALU: Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) mengenal pasti 41 pusat pemindahan mangsa banjir yang boleh menampung 14,020 orang di seluruh Sabah sebagai persediaan menghadapi bencana itu yang diramal berlaku berikutan musim tengkujuh kali ini.

Daripada jumlah itu, sembilan pusat pemindahan disediakan di ibu negeri dan Penampang, Beaufort dan Tenom (empat), Tawau (11), Kinabatangan dan Beluran (enam), Pitas (lima), Kota Marudu dan Kudat masing-masing enam.

Pengarah JPA3 Sabah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, berkata kebanyakan pusat pemindahan ialah sekolah, dewan masyarakat dan balai raya, manakala yang lain merangkumi kompleks sukan, institut perguruan dan dewan milik insitut kemahiran seperti Insitut Latihan Perindustrian (ILP).

Katanya, JPA3 Sabah membuat persiapan sejak kira-kira tiga bulan lalu bagi menentukan pusat pemindahan dan keperluan lain seperti bahan makanan serta kelengkapan logistik membantu mangsa banjir, selain memberikan kursus persediaan menghadapi bencana kepada anggotanya.

"Semua keperluan untuk menghadapi bencana banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa sudah disiapkan lebih awal.

"Kita juga mengerahkan 1,336 anggota menghadapi bencana itu. Langkah ini bertujuan memastikan operasi mencari dan menyelamat mangsa dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, tumpuan utama ialah kawasan kerap berlaku banjir seperti Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Beaufort dan Tenom iaitu kawasan bencana banjir monsun manakala Telipok, Menggatal, Penampang, bandar Sandakan, Kudat dan Merotai, Tawau bagi kawasan banjir kilat.

Awang Askandar berkata, pihaknya sudah mempersiapkan anggota dan kelengkapan logistik bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat di semua kawasan terbabit yang akan digerakkan sebaik banjir berlaku.

Mengenai kekuatan anggota, beliaui berkata, selain 1,336 yang dikenal pasti sebagai anggota aktif, JPA3 Sabah juga mempunyai lebih 3,000 ahli tidak aktif di seluruh negeri yang boleh digerakkan jika anggota sedia ada tidak mencukupi.

Secara keseluruhan, katanya, JPA3 Sabah memiliki kira-kira 5,000 anggota yang kebanyakannya golongan belia lepasan sekolah, kakitangan awam dan orang awam.

"Belia lepasan sekolah mewakili kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan anggota JPA3 sekarang, disusuli kakitangan awam dan orang awam yang tidak bekerja sebanyak 30 peratus.

"Berdasarkan perancangan, kita mensasarkan 1,000 anggota JPA3 diambil setiap tahun di negeri ini. Pengambilan akan dibuat di peringkat daerah dan mereka akan diberikan latihan asas menyelamat," katanya.

Sementara itu, katanya JPA3 Sabah akan menganjurkan Perhimpunan Pertahanan Awam Sabah 2009 pada 20 hingga 24 November ini di Kompleks Sukan Kudat.

Program itu, katanya antara lain bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai tugas JPA3 dan membuka peluang kepada golongan belia menjadi sukarelawan JPA3, khususnya di kawasan Kudat.

0 comments: