Followers

Thursday, November 19, 2009

Filipina perlu bantuan AS$144 juta

NEW YORK 18 Nov. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam merayu bantuan berjumlah AS$144 juta (RM504 juta) bagi membantu mangsa tiga taufan yang menjejaskan Filipina baru-baru ini, jumlah bantuan dua kali ganda berbanding permintaan asal, sebelum ini.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB semalam berkata, hanya sebanyak AS$26 juta (RM91 juta) telah diterima sebagai maklum balas rayuan awal yang dibuat awal Oktober lalu yang meminta sejumlah AS$74 juta (RM259 juta) bagi membantu sejuta mangsa banjir.

Bagaimanapun, jumlah yang diperlukan kini semakin meningkat.

Menurut OCHA, data terbaru kerajaan dan penilaian oleh agensi-agensi PBB serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati, kira-kira 4.2 juta daripada 10 juta mangsa terjejas akibat taufan memerlukan bantuan, termasuk lebih 520,000 kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun.

OCHA memaklumkan bahawa bantuan sebanyak AS$144 juta (RM504 juta) itu meliputi pembiayaan kerja bagi agensi-agensi PBB, Organisasi Migrasi Antarabangsa dan beberapa NGO bermula bulan ini hingga Mac tahun depan.

OCHA berkata, pihaknya turut mengambil berat nasib kira-kira 1.7 juta mangsa yang kehilangan tempat tinggal atau yang masih tinggal di kawasan yang mengalami banjir.

Agensi itu melaporkan bahawa kawasan-kawasan terlibat dengan banjir mungkin terus ditenggelami dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlakunya penyebaran penyakit.

Menurut penilaian awal bersama oleh Jabatan Pertanian Filipina dan Pertubuhan Pertanian, antara 100,000 hingga 120,000 keluarga petani mengalami kerugian 100 peratus akibat kerosakan hasil pertanian dan aset.

Taufan Ketsana yang melanda Luzon Tengah pada 26 September lalu, mengorbankan 300 orang selain menjejaskan empat juta penduduk Filipina.

Seminggu kemudian, Taufan Parma membadai kawasan pergunungan utara Filipina, menyebabkan 400 maut, diikuti Taufan Mirinae yang melanda pada 31 Oktober, mengakibatkan kira-kira 30 terbunuh. - AP

0 comments: