Followers

Thursday, November 19, 2009

ASEAN perlukan pasaran bersepadu - Petronas


mohd. Hassan Marican (tengah) menyampaikan replika Menara Berkembar Petronas kepada Menteri Tenaga Thailand, Wannarat Channukul (kiri) di Bangkok, semalam.


BANGKOK 18 Nov. - Dengan permintaan terus meningkat bagi tenaga dan cadangan mewujudkan komuniti ekonomi tunggal ASEAN menjelang 2015, kesemua 10 negara anggota haruslah berusaha ke arah mewujudkan sebuah pasaran tenaga yang bersepadu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, hari ini.

"Kita tidak boleh berpuas hati untuk kekal sebagai 10 sistem tenaga, sedangkan kita telahpun menetapkan sasaran kita untuk mewujudkan sebuah komuniti ekonomi tunggal," katanya semasa Sidang Kemuncak CEO pada Persidangan dan Pameran Majlis ASEAN mengenai Petroleum Kesembilan di sini.

Mohd Hassan berkata, keuntungan tunggal yang paling penting untuk diraih daripada sebuah pasaran bersepadu itu adalah pengurangan kos dan tenaga diimport.

Menurut beliau, ini boleh dicapai melalui keupayaan memperuntuk perbelanjaan pelaburan prasarana tenaga yang lebih optimum di seluruh rantau ini.

Kos tenaga yang lebih rendah amat penting bagi mengekalkan daya saing ekonomi dan pada masa yang sama mempertingkat jaminan bekalan, katanya.

Penyepaduan itu, katanya, bukan sahaja bererti memasang lebih banyak saluran paip atau penyambungan elektrik, tetapi juga kerangka kerja bersama bagi kontrak pelbagai hala, penyesuaian piawaian teknikal, serta penyelarasan dasar-dasar tenaga nasional yang lebih teliti.

"Jika tidak diangkat ke tahap sistemik ini, kita mungkin membazirkan pelaburan dalam saluran paip, kemudahan LNG (gas asli cecair) dan penyambungan elektrik," katanya.

Mohd Hassan berkata, kejayaan kerjasama seperti pembangunan minyak bersama di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thai, Kawasan Persetujuan Komersial Malaysia-Vietnam dan kerjasama tiga pihak antara Indonesia, Vietnam dan Malaysia adalah contoh yang baik.

Menegaskan perlunya penyepaduan sedemikian, Mohd Hassan percaya negara-negara anggota sudah hampir mencecah had yang membolehkan mereka memenuhi keperluan tenaga dalam negara daripada kekayaan sumber hidrokarbon aslinya.

"Namun begitu, saya tidaklah menolak potensi besar yang wujud di kawasan-kawasan laut dalam dan sangat dalam," katanya sambil menambah bahawa banyak pengeksport tradisi minyak dan gas di sini sendiri akan beralih menjadi pengimport dalam dekad-dekad akan datang memandangkan banyak kawasan pembangunan yang semakin matang.

Selain itu, katanya kebergantungan kepada import tenaga mencetuskan cabaran-cabarannya sendiri, contohnya persaingan global bagi mendapatkan sumber, yang boleh menyebabkan bekalan dipegang oleh hanya segelintir pengeluar, serta terdedah kepada ancaman "dasar memilik negara atau perlindungan tenaga".

Menyebut kajian tentang masa depan tenaga bagi rantau ASEAN yang selesai baru-baru ini, Mohd Hassan berkata, kajian itu menunjukkan permintaan meningkat lebih sekali ganda dalam hanya 20 tahun dan sektor kuasa merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan ini. - Bernama

0 comments: