Followers

Saturday, August 28, 2010

Dua Menteri Luar bincang isu Malaysia-Indonesia 6 September

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa akan menemui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di sini pada 6 September depan bagi membincangkan kejadian demonstrasi terhadap Malaysia di Jakarta baru-baru ini selain isu dua hala.
Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata beliau percaya perbincangan itu akan membuka jalan penyelesaian kepada kesemua isu berkaitan Malaysia dan Indonesia.
Ditanya kemungkinan berulangnya demonstrasi oleh anggota Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) terhadap Kedutaan Besar Malaysia dan rakyat Malaysia di republik itu, beliau berkata Wisma Putra akan menyelesaikan isu itu secara diplomatik dan berusaha mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara.
Malah, katanya pemerintah Indonesia memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang melakukan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia itu selain menjamin keselamatan rakyat Malaysia di sana.

"Masyarakat Indonesia di negara ini juga tidak perlu risau tentang keselamatan mereka kerana kesemua masalah sedang dikendalikan dengan cara yang matang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini hari ini.

Bendera baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Ia sebagai bantahan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, apabila bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan lima nelayan Malaysia dan Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian negara itu, kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.
Tahanan kedua-dua belah pihak itu telah dibebaskan 17 Ogos lalu. - BERNAMA

0 comments: