Followers

Thursday, August 26, 2010

Rakyat Indonesia di Malaysia kesal tindakan cemar kedutaan

KUALA LUMPUR: Rakyat Indonesia yang berada di negara ini melahirkan rasa kesal dengan tindakan kumpulan penunjuk perasaan yang melempar najis ke dalam pintu pagar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan mengotor serta memijak Jalur Gemilang di atas jalan raya.

Mereka turut menyifatkan tindakan itu sebagai kelakuan yang tidak mencerminkan nilai dan jati diri bangsa Indonesia dan menegaskan bahawa tindakan kumpulan yang dikenali sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), bukan mewakili sejumlah besar rakyat negara itu.
Berikutan itu, Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) se-Malaysia meminta seluruh media Indonesia dan Malaysia agar lebih profesional atau tidak berpihak dalam menyampaikan laporan yang berkaitan dengan hubungan baik Malaysia-Indonesia untuk menjaga serta menghindari keretakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
"PPI kesal kerana tidak ada ketegasan dan ketelusan dalam menangani kes penahanan tiga petugas pengawas kelautan dan perikanan dan kurangnya informasi yang disampaikan oleh pemerintah Indonesia dan Malaysia kepada media dalam penyelesaian kes itu sehingga berita beredar di masyarakat Indonesia menjadi simpang siur," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

PPI turut meminta semua pihak arif dan bijaksana dalam melihat permasalahan yang terjadi dan menyelesaikannya secara diplomasi yang baik, bukan dengan emosi dengan menghormati kedaulatan negara masing-masing.

Katanya, satu kesepakatan dua hala juga perlu diadakan segera bagi membincangkan tentang batas wilayah perairan antara Indonesia dan Malaysia dan diharapkan kedua-dua negara menghormati batas wilayah perairan masing-masing.

"Ini perlu disegerakan kerana kita mahu masyarakat kedua-dua negara ini berasa selesa dan selamat berada di kedua-dua negara ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Union Migran Indonesia di Malaysia, Muhammad Iqbal, turut mengutuk tindakan segelintir rakyat di negaranya yang bertindak keterlaluan itu.

Beliau berkata, kumpulan penunjuk perasaan itu sepatutnya mencontohi Pergerakan Pemuda UMNO yang berhimpun secara aman serta menyerahkan memorandum dan petisyen berhubung isu terbabit ke Kedutaan Indonesia di sini.

"Cara begitu lebih jelas matlamatnya...bukan melakukan perkara provokasi yang boleh menimbulkan kemarahan banyak pihak. Siapa tidak marah jika bendera negara mereka diperlakukan sedemikian rupa," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata rakyat tidak seharusnya mengeruhkan keadaan yang akan memudaratkan hubungan di antara kedua-dua negara.

"Biarlah pihak yang bertanggungjawab buat kajian dan siasatan untuk dapatkan laporan terperinci, sebagai rakyat Malaysia jangan melompat, sabar, kita tidak tahu mungkin ada orang diupah untuk lontar najis ke kedutaan kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia Masood Khalid di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata, beliau yakin Wisma Putra sedang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik bagi mengelakkan hubungan akrab yang terjalin selama ini terjejas.

"Siasatan biar menyeluruh, saya yakin perkara ini dapat diselesaikan secara istiqamah di mana akhirnya ia akan menguntungkan rakyat di kedua-dua negara," katanya.

Isnin lalu 37 anggota Bendera berdemonstrasi di hadapan bangunan kedutaan berkenaan dan membawa lima bungkus najis manusia sebagai "hadiah" kepada Malaysia, yang didakwa telah mencemarkan maruah Indonesia dengan cara lebih kotor daripada itu.

Seorang daripada mereka sempat melempar bungkusan najis ke dalam pintu pagar Kedutaan Besar Malaysia manakala yang lain bertindak melepaskan kotoran itu ke atas Jalur Gemilang yang mereka pijak di atas jalan raya.

Mereka melepaskan kemarahan terhadap Malaysia berikutan insiden di perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau pada 13 Ogos yang menyaksikan bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia, sementara Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian Indonesia itu. - BERNAMA

0 comments: