Followers

Tuesday, July 27, 2010

Wakil politik, pendidikan mahu UPSR/PMR dikekalkan

PUTRAJAYA: Sebahagian wakil politik dan pendidikan yang menyertai perbincangan meja bulat kali kedua mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, cenderung kepada pengekalan kedua-dua peperiksaan itu tetapi dengan beberapa penambahbaikan.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata segala pendapat yang diberikan pada perbincangan hari ini amat baik, boleh dikatakan sebahagian bersetuju dimansuhkan dan sebahagian lagi beranggapan perlu dikekalkan tetapi dengan beberapa perubahan.
"Ada juga pendapat mahu UPSR dihapuskan dan kekalkan PMR dan ada juga yang berpendapat sebaliknya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata banyak juga wakil berpendapat apa juga perubahan atau pemansuhan yang akan dilaksanakan, penekanan kepada kualiti guru perlu dititikberatkan.

"Terdapat juga cadangan agar kemahiran teknikal perlu diperkenalkan sebaik selepas UPSR, jangan tunggu terlalu lama kerana jika selepas tingkatan empat baru diperkenalkan, masanya terlalu singkat," katanya.

Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berkata, kedua-dua peperiksaan itu tidak perlu dimansuhkan tetapi perlu diubah pendekatan serta fungsinya kerana fungsi sekarang lebih berorientasikan peperiksaan.

"Kekalkan UPSR dan PMR berdasarkan pendekatan rujukan-norma yang sedia ada dan mengekalkan fungsi pendidikan di sekolah sebagai alat pemilihan seperti sekarang," katanya.
Isahak yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu, urut mencadangkan UPSR dan PMR dikekalkan sebagai peperiksaan awam tetapi penaksirannya dibuat berdasarkan ''standard-based assesment'' ke arah menentukan kualiti pendidikan negara.

"Atau pun memansuhkan UPSR dan PMR dan biarkan sekolah masing-masing melaksanakan peperiksaan atau penaksiran, tidak ada peperiksaan atau penaksiran awam untuk melihat secara makro sejauh mana pelajar kita menerima pendidikan yang diharapkan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga dan Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong), Poh Chin Chua berpendirian bahawa pendidikan peringkat rendah memerlukan satu sistem penilaian standard untuk seluruh negara memandangkan keadaan yang unik di negara ini.

"Jadi sebelum UPSR dimansuhkan, Kementerian Pelajaran seharusnya mengumumkan satu formula alternatif yang baru agar masyarakat umum dapat meneliti dan mengkaji secara mendalam, lalu mengemukakan maklum balas yang membina untuk rujukan kementerian pula," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran tidak harus membuat keputusan dengan tergesa-gesa mengenai pemansuhan UPSR, malah seharusnya mengumumkan formula alternatif terlebih dahulu dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh.

"Keputusan sama ada UPSR dimansuhkan atau tidak boleh ditetapkan kemudian. Sebelum terhasilnya formula alternatif baru yang mendapat sokongan umum, seluruh masyarakat persatuan kami dengan tegasnya tidak menyetujui langkah kementerian memansuhkan UPSR," katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC Tan Sri T Marimuthu berkata kedua-dua peperiksaan terutamanya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.

"Lebih penting daripada memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu, kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan seharusnya menjalankan kajian terperinci terlebih dulu berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan dan mencari sistem alternatif yang lebih baik sekiranya mahu memansuhkannya.

Perbincangan meja bulat kali kedua itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, disertai 75 termasuk wakil politik, tokoh pendidikan, pemimpin pelajar, badan bukan kerajaan, wakil pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, pegawai tinggi Kementerian Pelajaran, wartawan dan wakil daripada industri buku. - BERNAMA

0 comments: