Followers

Tuesday, October 27, 2009

Strategi baru urus aset


Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Prof. Dr. Ir. Judin Abdul Karim pada majlis perasmian Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara 2009 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Okt. - Kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa strategi baru bagi memantapkan pelaksanaan pengurusan aset negara dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara inisiatif yang dipertimbangkan untuk memantapkan pelaksanaan itu adalah strategi perolehan baru, perancangan bersepadu dan pembangunan lestari.

Beliau berkata, beberapa usaha sedang dipertimbangkan kerajaan bagi mengguna pakai Konsep Pengurusan Aset Secara Menyeluruh itu sebagai kerangka pengurusan strategik.

"Beberapa negara maju telah mengguna pakai Konsep Pengurusan Aset Menyeluruh dan Malaysia juga boleh berbuat demikian kerana konsep itu bersifat menyeluruh dan memiliki pendekatan penyelarasan yang mantap," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara 2009 di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu menghimpunkan pakar-pakar dari sektor korporat dan kerajaan untuk berkongsi maklumat dan pembelajaran bagi membentuk pelaksanaan terbaik dalam urus tadbir pengurusan aset kerajaan pada RMK-10.

Menurut Muhyiddin, nilai aset yang dimiliki kerajaan ketika ini terlalu besar jumlahnya dan jika tiada sebarang langkah pengurusan yang berkesan ia akan merugikan negara sendiri.

"Nilai aset semasa mungkin beratus-ratus bilion ringgit ketika ini dan satu langkah berkesan perlu diambil bagi menjaga harta negara yang dimiliki rakyat," katanya.

Ujarnya, penggunaan strategi perolehan seperti Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan Reka Bentuk Senggara serta perkongsian strategik yang digunakan dalam kerjasama swasta- awam oleh negara-negara maju boleh digunakan sebagai rujukan.

Menerusi pendekatan ini katanya, sektor awam boleh menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan mereka.

"Perancangan bersepadu, juga mampu menjana aktiviti ekonomi sampingan, boleh dipertimbangkan sebagai alternatif dalam mengoptimumkan penggunaan tanah dan perkongsian kemudahan.

"Di samping itu, penggunaan teknologi hijau, terutama dalam bidang kecekapan tenaga dan tenaga diperbaharui boleh dimanfaatkan di masa depan," katanya.

Muhyiddin berkata, inisiatif 'Bangunan Hijau' perlu diberi pertimbangan sewajarnya dan ia merupakan amanah dan tanggungjawab bersama untuk generasi akan datang.

Beliau menambah, kerajaan sedang mencari jalan bagi mengurangkan perbelanjaan dan memaksimumkan penggunaan kemudahan awam secara berkesan bagi menampung kos operasi dan penyenggaraan melalui konsep penyewaan.

"Sebagai contoh, jika satu bangunan itu dimiliki oleh satu agensi kementerian dan tidak digunakan. Ia boleh disewakan dan separuh hasilnya akan diberi kepada pihak agensi dan kementerian bagi senggaraan dan yang selebihnya diberi kepada Kementerian Kewangan,'' katanya.

0 comments: