Followers

Tuesday, October 27, 2009

Lebih banyak teknologi hijau lindungi alam sekitar

PUTRAJAYA 26 Okt. – Malaysia komited untuk membangunkan lebih banyak teknologi hijau bagi memelihara dan melindungi alam sekitar negara ini di masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana alam sekitar kini menjadi tumpuan utama kerajaan dalam memacu pembangunan negara.

‘‘Kita semestinya mahu bekerjasama rapat dengan kerajaan New Zealand kerana mereka mempunyai rekod yang cemerlang dalam melindungi alam sekitarnya.

‘‘Saya menaruh minat yang mendalam bersama kerajaan New Zealand bagi mencapai agenda kita dalam memastikan alam sekitar yang lebih baik di Malaysia,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri New Zealand, John Key selepas mengadakan perbincangan dua hala selama lebih sejam di sini, hari ini.

Dalam lawatan kerja selama tiga hari yang bermula semalam, Key turut disertai oleh sembilan pegawai kanan kerajaan New Zealand.

Najib berkata, kerjasama memelihara dan melindungi alam sekitar turut terkandung dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dengan New Zealand.

‘‘Untuk itu, kita komited untuk meneroka era teknologi hijau,” katanya.

0 comments: