Followers

Tuesday, October 27, 2009

Orang ramai perlu guna 'kuasa pengguna' tentukan harga, kata Ismail

SERI ISKANDAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengulangi nasihat Kepada orang ramai supaya menggunakan “kuasa” sebagai pengguna bagi menentukan harga barangan di pasaran.

“Rakyat boleh menggunakan hak pengguna sebagai kuasa untuk menentukan harga…kefahaman ini masih belum meluas di kalangan pengguna keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata kurang kefahaman berkenaan menyebabkan pengguna masih terus mengharapkan kerajaan untuk bertindak mengawal harga barangan di pasaran sedangkan hanya beberapa barangan yang dikawal melalui undang-undang seperti Akta Kawalan Harga.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Pengguna Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kebangsaan di UiTM Seri Iskandar di sini kelmarin.

Ismail Sabri berkata kadar kefahaman kepenggunaan di kalangan rakyat masih berada sekitar 50 peratus dan kementerian telah meningkatkan kempen kesedaran melalui pelbagai bidang termasuk menggunakan rancangan televisyen dan iklan.

Katanya, sebagai contoh, orang ramai tidak sedar bahawa hanya lima sahaja barangan makanan dikawal harganya oleh kerajaan iaitu beras, gula, gandum, minyak masak dan roti putih selain gas, petrol dan diesel.

“Bagi harga roti canai atau teh tarik, harganya tidak dikawal dan pengguna mempunyai kuasa untuk memastikan pekedai tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya …. guna kuasa sama ada mahu membeli atau memboikot barangan yang dinaikkan harga,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri melahirkan keyakinan bahawa kesedaran kepenggunaan di kalangan rakyat akan meningkat lebih baik apabila generasi muda di bangku sekolah dan IPT semakin terdedah dengan penubuhan kelab-kelab penguna. Beliau berkata sehingga kini, 11 IPT termasuk 9 di Perak telah menubuhkan kelab dan selepas pelancaran hari ini, kementerian mensasarkan semua 56 Institut Pengajian Tinggi Awam seluruh negara akan menubuhkan kelab sebelum pertengahan tahun depan.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pemberian geran pelancaran kelab berjumlah RM1,000 bagi setiap kelab penguna IPT.

Katanya, sasaran seterusnya adalah menubuhkan kelab pengguna di semua sekolah menengah di mana sehingga kini hanya 991 sekolah mempunyai kelab berkenaan.

0 comments: