Followers

Tuesday, October 27, 2009

Persidangan Wanita Pertama dicadang


Rosmah Mansor (dua dari kanan) dan isteri Perdana Menteri Dubai, Puteri Haya Al Hussein (kanan) pada majlis perasmian Forum Kepimpinan Wanita di Hotel Burj Al Arab, Dubai, semalam. - BERNAMA


DUBAI 26 Okt. - Datin Seri Rosmah Mansor menggesa dianjurkan 'Sidang Kemuncak Wanita Pertama Memupuk Pemimpin Wanita Masa Depan' pada tahun depan untuk merumuskan kaedah bagi meningkatkan lagi peranan wanita dalam kepimpinan serta menyelesaikan isu yang dihadapi mereka.

''Malaysia bersedia untuk berusaha menjadikan sidang kemuncak pertama ini menjadi realiti dan saya merayu kepada semua wanita pertama dan isteri para pemimpin untuk turut serta dalam sidang kemuncak ini,'' kata isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Kepimpinan Wanita di sini pada Isnin, yang dihadiri kira-kira 300 wanita berpengaruh daripada sektor politik, akademik dan perniagaan dari seluruh dunia.

''Rumusan daripada sidang kemuncak ini, saya pasti akan menerima perhatian utama daripada para pemimpin banyak negara dan diharapkan akan diterjemahkan kepada tindakan,'' katanya pada perhimpunan itu.

Bercakap kepada pemberita Malaysia kemudiannya, Rosmah berkata, tarikh yang sesuai akan ditetapkan bagi penganjuran sidang kemuncak itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata, Kabinet telah memberikan kelulusan bagi penganjuran sidang kemuncak itu.

Dalam ucapannya, Rosmah berkata, beliau percaya para Wanita Pertama dapat memainkan peranan penting dalam menggalakkan peranan kepimpinan wanita di negara masing-masing.

''Wanita Pertama berada pada kedudukan yang unik untuk mendekati dan membawa perubahan kepada masyarakat melalui pembabitan mereka dalam organisasi sukarela untuk membantu golongan miskin, kurang bernasib baik dan mereka yang memerlukan,'' katanya.

Rosmah memberikan contoh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri Malaysia (Bakti), yang beliau adalah pengerusinya, yang menyediakan biasiswa, bantuan perubatan dan kesihatan kepada golongan memerlukan dan mengusahakan projek bagi golongan kurang upaya.

Bantuan kemanusiaan Bakti turut dihulurkan ke negara lain seperti Bosnia, Indonesia, Sri Lanka, Gaza dan Filipina, katanya.

Beliau turut menyentuh usahanya dalam membangunkan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak serta usaha untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar.

Rosmah menggesa Wanita Pertama dan isteri para pemimpin untuk memanfaatkan kapasiti mereka untuk memperjuangkan dan mengukuhkan lagi peranan kepimpinan wanita.

''Kita perlu mainkan peranan kita untuk memastikan pucuk pimpinan di negara kita tidak terlepas pandang akan potensi besar tenaga kerja wanita untuk menerajui dalam perdagangan, industri dan politik,'' katanya.

Kemudiannya, ketika diminta mengulas lanjut mengenai sidang kemuncak yang dicadangkan itu, Rosmah berkata, ia akan dikendalikan oleh kementerian Shahrizat.

Beliau berkata, pemimpin wanita berpengaruh dan profesional juga akan dipelawa untuk memberikan input mengenai bagaimana wanita pertama dapat membantu dengan lebih baik lagi wanita di negara masing-masing. - BERNAMA

0 comments: