Followers

Tuesday, October 27, 2009

Kekalkan perpaduan kaum

KUALA PILAH 26 Okt. - Rakyat negara ini perlu terus mengekalkan budaya hidup bersama tanpa mengira kaum dengan menghormati antara satu sama lain supaya keharmonian terus terpelihara, titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Baginda bertitah, keamanan dan keharmonian yang wujud lahir daripada rasa muafakat dan kesefahaman semua rakyat berbilang kaum.

"Beta berharap amalan ini akan menjadi budaya murni di kalangan rakyat untuk menjamin keharmonian hidup sebagai satu bangsa yang bertamadun.

"Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama, perpaduan merupakan elemen penting kepada kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara.

"Dengan kekuatan ini, beta menyeru kepada semua agar bergerak seiring ke hadapan untuk meningkatkan lagi kemakmuran negeri dan negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Baginda yang melahirkan kesyukuran dengan pertabalan itu bertitah ia merupakan satu lagi kesinambungan sistem sosiopolitik yang telah wujud sejak 700 tahun dahulu.

Malah titah baginda, pertabalan itu merupakan Adat Perpatih yang unik kerana hanya terdapat di negeri ini dengan kebanyakan cirinya mempunyai asal usul dari Pagaruyung.

Titah baginda, kewujudan sistem beraja di Negeri Sembilan itu sendiri merupakan lambang kesepakatan dan perpaduan apabila sembilan negeri berpakat untuk bernaung di bawah satu raja apabila Raja Melewar telah ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar di Kampung Penajis, Rembau kira-kira 250 tahun lalu.

"Sering berlaku, raja datang menawan dan menakluki sesuatu negeri. Namun begitu di Negeri Sembilan, Raja Melewar ke negeri ini bukan sebagai penakluk tetapi dipersilakan untuk menyatukan negeri di sini.

"Yang Dipertuan Besar juga menjadi lambang memayungi dan melindungi semua rakyat yang berada di Negeri Sembilan. Jelaslah institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diwujudkan hasil dari persilaan ini," titah baginda

0 comments: