Followers

Tuesday, October 27, 2009

Malaysia–NZ meterai FTA

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Malaysia dan New Zealand hari ini menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang membolehkan akses lebih luas di antara kedua-dua negara.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan New Zealand, Tim Groser.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama rakan sejawatnya, John Key di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini.

Berucap selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut, Najib berkata, hubungan dua hala Malaysia dan New Zealand sudah wujud untuk tempoh yang lama dan melibatkan beberapa generasi.

‘‘Perjanjian dagangan bebas Malaysia dan New Zealand yang ditandatangani hari ini merupakan simbol matlamat politik untuk membawa hubungan yang terjalin selama ini ke tahap lebih tinggi.

‘‘Ia bukan sahaja mengenai akses yang lebih luas di antara kedua-dua negara atau meneroka peluang baru. Saya ingin melihat sektor swasta di kedua-dua negara menggunakan peluang akses luas untuk mencari pasaran di kedua-dua negara dan ASEAN,’’ katanya.

Najib menjelaskan, perjanjian itu mencerminkan hasrat integrasi yang lebih baik di antara kedua negara.

0 comments: