Followers

Tuesday, October 27, 2009

Wujudkan Skim Perkhidmatan Universiti

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kakitangan institut pengajian tinggi awam (IPTA) menggesa kerajaan supaya mewujudkan Skim Perkhidmatan Universiti yang berbeza daripada kakitangan kementerian dan agensi lain.

Pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (Gakum), Omar Osman berkata, skim baru itu perlu memandangkan tanggungjawab golongan tersebut semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Katanya, berbeza dengan dahulu, negara kini menyaksikan pertumbuhan pesat IPTA dengan kewujudan 20 universiti serta politeknik dan kolej universiti.

‘‘Satu skim baru perlu memandangkan kakitangan awam di IPTA terikat dengan skim perjawatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

‘‘Hakikatnya, bebanan tugas mereka kini bertambah contohnya dengan kemasukan begitu ramai pelajar asing sejak beberapa tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berucap pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Kepimpinan anjuran Gakum bermula Ahad lalu sehingga esok.

Hadir sama pengerusi persidangan itu merangkap Setiausaha Gakum, Ku Azmi Ku Ibrahim.

Omar yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menjelaskan, kewujudan skim baru itu bakal memberi manfaat kepada lebih 80,000 kakitangan awam IPTA di seluruh negara yang terdiri daripada kakitangan pengurusan, akademik dan sokongan.

Katanya, skim baru itu harus memudahkan kenaikan pangkat seseorang kakitangan sokongan kerana beberapa universiti menyaksikan petugas bahagian perkeranian kekal di jawatan sama untuk tempoh 30 tahun.

Sesetengah universiti pula menurutnya, menyaksikan kenaikan pangkat seseorang kerani itu dalam tempoh tidak sampai lima tahun.

‘‘Jika ini terus berlaku, kakitangan universiti yang ketinggalan tidak akan bersemangat untuk bekerja dan ia menjejaskan pembangunan modal insan di IPTA terlibat,” ujarnya.

Katanya, melalui skim baru itu juga kerajaan perlu menyediakan insentif seperti tanggungan mengerjakan umrah bagi petugas sokongan yang mendapat anugerah cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut dan melawat ke negara luar bagi yang bukan beragama Islam.

Pada masa ini katanya, IPTA di seluruh negara mempunyai kuasa melantik kakitangan mereka tetapi skim perjawatan dan kenaikan pangkat serta gaji masih terikat dengan sistem JPA.

0 comments: