Followers

Tuesday, October 27, 2009

Malaysia pasaran penting NZ


Najib Tun Razak bersama John Key menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian FTA antara Mustapa Mohamed dan Tim Groser di Kuala Lumpur, semalam.


PUTRAJAYA 26 Okt. - New Zealand memberi jaminan Malaysia akan terus menjadi pasaran penting bagi negara itu dalam sektor perdagangan, pendidikan dan pelancongan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu dinyatakan oleh rakan sejawatnya, John Key yang kini mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke negara ini sejak semalam.

Katanya, nilai dagangan kedua-dua negara dijangka kembali pulih dan meningkat tahun depan berbanding tahun ini berikutan kesan ekonomi global yang semakin pulih.

''Pada 2008, nilai dagangan kedua-dua negara adalah RM6.15 bilion iaitu meningkat dua kali ganda berbanding 2006 tetapi menurun pada tahun ini.

''Bagaimanapun, saya percaya ini hanya fenomena sementara dan akan pulih kembali dengan jumlahnya lebih meningkat pada 2010," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar bersama Key di sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin sebelum itu mengadakan pertemuan lebih sejam di Bangunan Perdana Putra.

Antara yang hadir Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed serta Menteri Perdagangan New Zealand, Tim Groser.

Najib memberitahu, hubungan dagangan dua hala itu yang telah terjalin sejak sekian lama seharusnya dimanfaatkan oleh para pelabur dari New Zealand.

Jelasnya, Malaysia seharusnya menjadi hab industri menarik kepada mereka seterusnya menjadikan negara ini sebagai pintu masuk untuk menerokai pasaran ASEAN.

''Bidang pendidikan akan terus menjadi sektor utama dalam hubungan kerjasama ini.

''Sementara sektor pelancongan juga memperlihatkan peningkatan dengan jumlah kedatangan pelancong dari New Zeland ke negara ini seramai 56,000 orang pada tahun lalu," ujarnya.

Perdana Menteri menambah, beliau percaya lebih banyak sektor baru boleh diterokai bersama seperti bidang sains dan teknologi serta teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Sementara itu, Key berkata, Malaysia merupakan rakan dagangan kelapan terbesar New Zealand.

''Pelajar asing yang paling ramai melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di New Zealand juga dari Malaysia.

''Pada masa sama, seramai 1,000 rakyat New Zealand melancong ke Malaysia setiap minggu," tambah beliau.

0 comments: