Followers

Friday, September 18, 2009

Masalah Hospital Ranau perlu ditangani segera, kata Ewon

18th September, 2009

RANAU: Masalah kekurangan kemudahan dan kakitangan hospital daerah Ranau yang berlarutan sejak bertahun lamanya perlu ditangani segera bagi keselesaan merawat para pesakit yang kian hari kian bertambah ramai jumlahnya.

Menurut Pengarah hospital berkenaan Dr Rameswaran Muthu, Hospital Ranau adalah hospital paling sibuk di negeri Sabah tetapi tidak mempunyai kelengkapan dan staf yang mencukupi.

Katanya, selain dari merawat pesakit luar, hospital ini mempunyai wad pesakit yang banyak (termasuk wad bersalin) serta melakukan khidmat rawatan pembedahan dengan hanya mempunyai tiga orang doktor sahaja.

Bagi menampung kesempitan tempat yang dihadapi Hospital Queen Elizebeth, Hospital Ranau juga sering dijadikan alternatif bagi membantu doktor pakar menjalankan rawatan terus seperti pembedahan dan sebagainya.

Katanya lagi, Hospital Ranau juga mengalami kekurangan kemudahan seperti katil pesakit yang pada masa ini hanya mempunyai 91 buah sahaja sedangkan keperluan minima harian adalah 110 buah. Selain dari itu ada di antara katil berkenaan yang sudah digunakan sejak 40 tahun yang lalu.

Tempat letak kenderaan bagi pelawat hospital ini juga menjadi masalah utama apabila dianggarkan 600 hingga 800 buah kereta keluar masuk ke kawasan berkenaan setiap hari.

Dr Rameswaran meluahkan permasalahan itu ketika berucap di majlis Lawatan Muhibbah pemimpin Barisan Nasional (BN) ke hospital ini, sempena hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidilfitri yang di ketuai oleh Menteri Pembangunan Luar bandar Datuk Dr Ewon Ebin.

Sehubungan dengan itu, Ewon dalam ucapan balasnya merayu pihak berwajib khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia supaya memandang perkara itu dengan serius serta dapat memberikan tindakan sewajarnya.

Katanya, sebagai pemimpin peringkat daerah ini, saya merayu kepada Kementerian berkenaan supaya menambah bilangan doktor serta kemudahan yang diperlukan hospital Ranau dengan kadar segera bagi keselesaan pesakit dan kakitangan hospital menjalankan rawatan.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Tanah dan Ukur serta Pejabat Daerah Ranau supaya menyegerakan mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (LUC) yang ada kaitan dengan permohonan tanah yang diperlukan hospital ini.

Sempena lawatan itu, Datuk Ewon yang diiringi ADUN Kundasang Dr Joachim Gunsalam turut membahagi-bahagikan sumbangan berupa kueh raya dan wang tunai kepada 94 orang pesakit di wad hospital berkenaan.

Pada majlis yang sama pemimpin BN juga menumbangkan kueh raya kepada kakitangan polis, bomba dan warga hospital, serta sumbangan wang tunai berjumlah RM10 ribu ringgit kepada persatuan Warga Emas daerah ini.

1 comments:

eve said...

eh. cm x busy ja pun d hsptl rnau tue selalunya. hehe.