Followers

Friday, September 18, 2009

Dr M sedih jika dikecam ahli Umno

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang ahli MIC agar gambar beliau dikalung selipar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman itu.

"Kecaman itu daripada parti lain dan tidak merugikan saya," katanya di sini.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah jika kecaman datang daripada ahli Umno seperti pernah berlaku.

"Ini bukan kali pertama dikecam. Orang dah lupa macam mana pemimpin Umno kecam saya. Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz) dan Menteri Besar Kedah nak buang saya daripada Umno.

"Tapi masa itu tak ada siapa bagi reaksi. Tak ada orang berani cakap apa," katanya.

Cadangan kalungan selipar itu dibuat Timbalan Ketua MIC Bahagian Paya Besar, Pahang, M Sukumaran pada perhimpunan agung MIC Ahad lalu di ibu negara kerana mendakwa Dr Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataannya.

Berikutan itu, Sukumaran dikecam hebat dan dianggap biadab. Dia memohon maaf dengan memberi alasan terlepas cakap. Ahli MIC itu ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf.

Mengulas isu itu, Dr Mahathir berkata: "Tiba-tiba saya popular. Orang semua pertahan saya. Dulu saya kena kecam, suruh buang daripada Umno. Tapi orang tak react. Pasal apa kali ini react.

"Dulu bila kena kecam, tak ada sesiapa pertahankan saya. Taklah secara terbuka. Orang senyap-senyap beranilah tapi orang kenamaan tak berani pertahan," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau sedih apabila orang partinya sendiri dan orang yang duduk dalam Kabinetnya mengecam beliau.

"Saya duduk dalam Umno dari mula parti ditubuhkan. Yang tegur saya belum beranak pun lagi," katanya.

Mengenai hasrat Sukumaran menemuinya untuk memohon maaf, Dr Mahathir berkata: "Minta maaf tak apa, tak minta pun tak apa. Saya sedih apabila orang parti sendiri, orang yang duduk dalam Kabinet sendiri kecam saya."

Dr Mahathir berkata Sukumaran kini menjadi mangsa percakapannya sendiri.

Di KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 ahli Kelab CheDet.Com yang menyokong Dr Mahathir menuntut MIC memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu.

Presiden kelab, Pizi Jihat, berkata MIC perlu berbuat demikian melalui hebahan umum secara bertulis atas tindakan perwakilannya menghina Dr Mahathir. � Bernama

0 comments: