Followers

Friday, September 18, 2009

Aliran FDI Malaysia kurang terjejas dengan krisis ekonomi

KUALA LUMPUR: Krisis ekonomi global tidak banyak memberi kesan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia pada 2008 meskipun kesan yang ketara terhadap FDI di seluruh dunia.

Menurut Laporan Pelaburan Dunia (WIR) yang dikeluarkan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2009, aliran pelaburan ke Malaysia susut kepada AS$8.053 bilion pada 2008 berbanding aliran masuk sebanyak AS$8.401 bilion yang dicatatkan pada 2007.

Anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Datuk Zainal Aznam Yusof, yang mengumumkan laporan berkenaan semalam bagaimanapun berkata, pelaburan Malaysia ke luar negara mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus kepada AS$14.059 bilion pada 2008 daripada AS$11.087 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata aliran keluar FDI meningkat dengan kukuh sejak beberapa tahun lepas, mencerminkan kenaikan sebanyak 370 peratus daripada angka pada 2005 sebanyak AS$2.972 bilion.

"Peningkatan yang besar dalam pelaburan keluar Malaysia pada 2008, sebagaimana tahun lepas, mencerminkan negara kini lebih globalisasi dan mengukuhkan kedudukan dalam ekonomi dunia," katanya.

Mengenai kedudukan serantau, beliau berkata walaupun aliran masuk dan keluar FDI di rantau ini perlahan sejak akhir 2008, Asia Tengara, Selatan dan Timur mencatatkan lonjakan 17 peratus dalam FDI kepada AS$298 bilion pada 2008.

Namun keseluruhan aliran masuk FDI ke rantau ini adalah satu pertiga lebih rendah pada suku pertama 2009, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Bertemakan "Perbadanan Trasnasional, Pengeluaran dan Pembangunan Pertanian", laporan WIR 2009 juga menumpukan kepada kesan krisis terhadap 100 perbadanan transnasional bukan kewangan (TNC).

Zainal Aznam berkata, enam konglomerat Malaysia antara 100 TNC utama bukan kewangan iaitu Petronas yang di kedudukan kelima, YTL Corporation (31), Genting Bhd (38) Sime Darby Bhd (46), Telekom Malaysia Bhd (57) dan Tanjong Public Limited Company (37).

"Kemasukan enam syarikat daripada pelbagai bidang, jelas mencerminkan kapasiti berterusan Malaysia untuk melabur di luar negara melalui syarikat utama, yang berpotensi menjadi komponen penting meningkatkan daya saing antarabangsa dan akses kepada teknologi antarabangsa," katanya.

Mengenai masa depan, laporan itu menyatakan bahawa dasar kerajaan sebagaimana yang dilihat di Malaysia, Korea dan Thailand, bakal memainkan peranan yang besar dalam pemulihan FDI dan pertumbuhan ekonomi.

"Untuk menarik lebih banyak FDI, Malaysia perlu mempercepatkan liberalisasi ekonominya terutamanya dalam sektor sub-perkhidmatan.

"Pelaburan dalam sektor ini dijangka mengambil alih pelaburan dalam sektor pembuatan sehingga 75 peratus menjelang 2020," kata Zainal Aznam.

Aliran masuk FDI dunia dijangka susut di bawah AS$1.2 trilion tahun ini.

Pemulihan FDI dijangka perlahan pada 2010, mencecah tidak lebih daripada AS$1.4 trilion, kata laporan itu dan menambah bahawa ia diunjur untuk pulih kepada kira-kira AS$1.8 trilion pada 2011. - Bernama

0 comments: