Followers

Friday, September 18, 2009

Sabah cadang bina 10,000 unit rumah kos rendah dalam RMK-10, kata Hajiji

18th September, 2009

TUARAN: Kerajaan Sabah bercadang membina 10,000 unit rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Hajiji Noor, berkata penambahan rumah kos rendah itu diyakini dapat membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

“Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap kepentingan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di sini pada malam Khamis.

Hajiji berkata pada masa ini, Jabatan Perumahan Negara, (JPN) Syarikat Perumahan Negara Berhad, (SPNB) dan Lembaga Perumahan Dan Pembangunan Bandar (LPPB) telah dan sedang membina 34,000 unit rumah kos rendah di seluruh negeri.

Beliau berkata setakat ini semua projek pembinaan itu berjalan lancar dan tiada projek perumahan kos rendah terbengkalai.

“Cuma ada beberapa projek yang menghadapi sedikit masalah kelewatan akibat faktor tanah dan cuaca,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan dan zakat kepada 54 orang terdiri daripada fakir miskin, ibu tunggal dan golongan istimewa dari Kampung Rugading, dekat sini.

0 comments: