Followers

Friday, September 18, 2009

Kapal selam TLDM bukan untuk menakut-nakutkan


MURID Sekolah Kebangsaan TLDM Sepanggar mengibar bendera menyambut ketibaan KD Tunku Abdul Rahman di Markas Angkatan Kapal Selam di Markas Wilayah Laut 2 TLDM di Teluk Sepanggar, dekat Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU: Operasi kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman melengkapi kemampuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memelihara kepentingan Kerajaan Malaysia di Terumbu Layang-layang yang dituntut beberapa negara, sekali gus membolehkan TLDM memelihara kedaulatan wilayah berkenaan.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, menegaskan operasi KD Tunku Abdul Rahman bukan bertujuan menakut-nakutkan atau menimbulkan kebimbangan di kalangan negara jiran atau negara yang menuntut Terumbu Layang-layang, sebaliknya melengkapkan sistem pertahanan laut negara.

"Tanpa Scorpene pun TLDM mampu mempertahankan kepentingan Kerajaan Malaysia di Terumbu Layang-layang. Tidak semestinya tanpa kapal selam, TLDM tidak mampu mempertahankannya.

"TLDM sentiasa bersedia melaksanakan tugas yang diamanahkan Kabinet, termasuk keputusan Kabinet membina kepentingan pangkalan TLDM di Terumbu Layang-layang yang kira-kira 160 batu nautika ke barat laut Sabah ini," katanya pada sidang media selepas majlis menyambut ketibaan KD Tunku Abdul Rahman di Markas Angkatan Kapal Selam yang terletak dalam Markas Laut 2 TLDM, di Teluk Sepanggar, dekat sini semalam.

Majlis itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohd Nordin Ali; Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamaruzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Markas Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Anuwi Hassan serta Penguasa Operasi Kapal Selam, Laksamana Kedua Mohd Roslan Omar.

Ketika melawat Terumbu Layang-layang pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Menteri Pertahanan, dilaporkan berkata, kehadiran TLDM di wilayah berkenaan penting bagi membuktikan kewujudan pihak berkuasa Malaysia terutama jika tuntutan terhadap wilayah itu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Mengenai operasi KD Tunku Abdul Rahman di markas berkenaan, Abdul Aziz berkata, Markas Angkatan Kapal Selam akan mewujudkan dua lagi kumpulan anak kapal selam, masing-masing dianggotai 32 pegawai dan anak kapal menjelang hujung tahun depan.

Selain 32 pegawai dan anak kapal KD Tunku Abdul Rahman yang sedia ada, dua lagi kumpulan pegawai dan anak kapal selam sedang dilatih untuk ditugaskan dalam kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak yang dijangka dibawa pulang dari Sepanyol ke Malaysia Januari depan.

Abdul Aziz juga mengumumkan kenaikan pangkat Pegawai Memerintah KD Tunku Abdul Rahman, Komander Zulhelmy Ithnain kepada Kapten berikutan kejayaan beliau memimpin pegawai dan anak kapal membawa pulang kapal selam berkenaan dari Toulon, Perancis sejak ia memulakan pelayaran pada 11 Julai lalu.

Kapal selam berkenaan singgah di Pelabuhan Jeddah, Djibouti, Cochin sebelum tiba di Pangkalan TLDM Pulau Indah, Klang pada 3 September lalu.

KD Tunku Abdul Rahman kemudiannya belayar ke Pangkalan TLDM Lumut pada 5 September lalu sebelum meneruskan pelayaran ke Markas Angkatan Kapal Selam, di sini semalam.

0 comments: