Followers

Friday, September 18, 2009

'Selamat Hari Raya', waspada terhadap H1N1

18th September, 2009

KUALA LUMPUR: Aidilfitri kian hampir. Tidak lama lagi beribu-ribu penghuni kota akan mengikuti arus ‘balik kampung’ untuk menyambut perayaan ini bersama sanak saudara di kampung halaman masing-masing.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah menasihati mereka yang balik kampung supaya berwaspada terhadap selesema A (H1N1) ketika negara sedang bersiap mendepani kemungkinan adanya ‘gelombang kedua’ penyakit itu.

“Saya yakin dengan sistem pemantauan dan rawatan untuk orang ramai. Bagaimanapun saya nasihatkan mereka yang demam supaya jangan menyembunyikan masalah itu”, kata beliau, sambil mengingatkan mereka yang demam teruk lebih daripada 48 jam hendaklah mendapatkan rawatan segera.

Liow berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pandemik Influenza A (H1N1) Kebangsaan 2009 di sini baru-baru ini.

Persidangan satu hari itu dianjurkan bersama Persatuan Perubatan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia.

Liow melahirkan kebimbangan beliau kemungkinan meningkatnya jangkitan selesema itu semasa musim balik kampung ini.

Influenza ialah penyakit respiratori yang senang berjangkit. Influenza biasanya terlibat dengan jangkitan setempat yang berlaku di institusi seperti sekolah berarama penuh, menurut Dr K.B.Chua.

Semasa membicarakan topik ‘Aspek Sejarah Virologi A (H1N1) Pandemik dan Semasa’ pada seminar itu, Dr Chua berkata epidemik boleh berlaku bila-bila masa tetapi lebih ketara pada musim sejuk di negara iklim sederhana atau bulan yang mempunyai kelembapan tinggi di negara-negara lain.

Menurut beliau, virus influenza A (H1N1), seperti virus selesema yang lain, ialah daripada genus Orthomysovirus dalam famili Orthomyxoviridae.

Walaupan bagi orang dewasa yang sihat dan serangan selesema hanya sekejap sahaja, jika melibatkan ramai pesakit dalam epidemik boleh menyebabkan adanya kematian.

Menurut beliau, pandemik selesema dalam kurun ke-20 (1918/9, 1957, 1968) ialah disebabkan munculnya virus ‘sub-type’ yang baru, apabila hos manusia tidak mempunyai perlindungan imuniti.

Sementara itu, Dr Christopher K.C. Lee dari Hospital Sungai Buloh berkata rawatan jangkitan influenza A (H1N1) ialah sama dengan rawatan selesema dari segi beberapa aspek.

Semasa membentangkan topik ‘Manisfestasi Klinikal dan Penjagaan Pesakit Luar Influenza A (H1N1)’ pada seminar yang sama, Dr Lee dari Unit Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan, berkata manifestasi klinikal influenza A (H1N1) ialah sama dengan selesema bermusim tetapi wujudnya beberapa kelainan yang ketara.

Antaranya ialah cirit-birit yang kerap serta muntah. Terdapat juga peningkatan risiko bagi mereka yang mempunyai obesiti dan wanita mengandung terutama dalam trimester ke-2 dan ke-3. Juga jumlah yang besar bagi mereka yang berumur antara 20 dan 40 tahun yang dimasukkan ke hospital kerana komplikasi berkaitan selesema.

Jelas sekali pesakit yang mempunyai ‘co-morbidity’ seperti mereka yang menghidapi penyakit respiratori kronik seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik, wanita mengandung, mereka yang obes serta penyakit kronik yang lain iaitu diabetis, kegagalan ginjal serta kegagalan jantung kongestif, menghadapi risiko tinggi berlakunya komplikasi jika dijangkiti influenza A (H1N1).

Mereka yang mempunyai daya imuniti rendah juga mempunyai risiko komplikasi jika dijangkiti influenza A (H1N1).

Kata Dr Lee, pesakit-pesakit inilah yang perlu dirawat dengan antiviral selesema seperti Oseltamivir (Tamiflu) dan Zanamivir (Relenza) sebaik sahaja menunjukkan gejala dan tanda penyakit yang menyerupai selesema.

Menurut Dr Lee, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan langkah rawatan sokongan dan simptomatik yang lain.

Antaranya rehat dan hidrasi yang cukup, ubat antipiretik untuk kelegaan simptomatik dan juga penggunaan antibiotik yang sesuai bagi mereka yang menghidapi jangkitan kuman.

0 comments: