Followers

Friday, September 18, 2009

Masyarakat Pantai Timur Sabah sambut baik cadangan bina loji janakuasa arang batu

16th September, 2009

LAHAD DATU: Pemimpin dan masyarakat kawasan pantai timur Sabah menyifatkan cadangan kerajaan membina loji janakuasa arang batu di Felda Sahabat, kira-kira 100 kilomter dari sini, sebagai tepat dan kena pada masa.

Sambil menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cadangan itu semalam, mereka berkata sumber tenaga berterusan tanpa gangguan amat diperlukan bagi menampung pertumbuhan pesat ekonomi di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tungku, Datuk Suhaili Said, berkata penyelesaian masalah kekurangan bekalan elektrik akan merangsang pertumbuhan industri hiliran berasaskan pertanian marin di kawasan pantai timur Sabah.

“Lahad Datu merupakan kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) yang terbesar di Malaysia. Felda Sahabat juga dipilih kawasan ternakan lembu Fidlot peringkat kebangsaan,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Katanya dengan adanya loji janakuasa arang batu itu, manfaatnya bukan sahaja dapat dinikmati oleh penduduk kawasan Lahad Datu tetapi juga penduduk kawasan pantai timur lain seperti Tawau, Semporna, Kunak dan Sandakan.

Di TAWAU, Adun Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan pula menyifatkan pembinaan loji janakuasa berkuasa 300MW itu dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik untuk tempoh jangka panjang.

“Saya yakin pembinaan loji tersebut akan memenuhi piawaian alam sekitar melalui tapisan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan selamat untuk beroperasi,” katanya, yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah.

Katanya bantahan kumpulan pencinta alam sekitar dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang terhadap pembinaan loji itu tidak mencerminkan kehendak majoriti penduduk Sabah yang dahagakan bekalan tenaga elektrik.

Di SANDAKAN, Pegawai Perhubungan Awam Dewan Perniagaan dan Bumiputera Sabah

cawangan Sandakan Jorjy Juana berkata pembinaan loji itu membuktikan kerajaan menyedari masalah yang dihadapi oleh rakyat negeri itu.

Katanya masyarakat pantai timur Sabah merasai kesan akibat masalah kekurangan bekalan elektrik yang turut menjejaskan sektor industri dan peniaga.

Namun, beliau berharap kerajaan dapat memastikan pembinaan loji janakuasa itu dibina berdasarkan kelulusan laporan EIA yang ketat bagi mengelakkan ia menjejaskan alam sekitar dan penduduk di sekitarnya.

“Jika kawasan itu tidak sesuai, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu mencari sumber bekalan elektrik yang lain,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan (PNK) Tawau, Hasan Timbasal, pula berkata dengan adanya tenaga elektrik yang mencukupi, nelayan pantai timur di kawasan pesisiran pantai akan mendapat bekalan elektrik dan mendorong mereka menceburi industri kecil berasaskan sumber laut.

“Selama ini, antara faktor penghalang nelayan pantai daripada menceburi industri kecil berasaskan hasil-hasil laut ialah masalah elektrik dan air,” katanya.

0 comments: