Followers

Friday, October 23, 2009

Muhyiddin yakin unjuran defisit Bajet 2010 realistik

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin unjuran defisit bajet daripada 5.6 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tahun depan adalah realistik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bukan hanya berlegar pada isu cukai pendapatan tetapi juga sektor lain yang kerajaan percaya ianya penting, termasuk subsidi.

"Contohnya, terdapatnya pengagihan semula subsidi hanya kepada sektor yang kami percaya amat memerlukannya serta sektor yang agak penting.

"Sudah tentu cukai akan dikenakan kepada beberapa perkara yang mana kami percaya ia akan menambah kepada pendapatan kerajaan.

"Jadi, ia realistik dan berdasarkan kepada pelbagai sektor yang kami percaya boleh menyumbang kepada pengurangan defisit," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan defisit Kerajaan Persekutuan pada 2010 dijangka berada dalam kedudukan baik iaitu 5.6 peratus daripada KDNK berbanding dengan 7.4 peratus pada 2009, dengan mengambil kira anggaran pendapatan dan perbelanjaan.

Pendapatan Kerajaan Persekutuan pada 2010 dijangka berkurangan 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion berbanding RM162.1 bilion tahun ini.

Muhyiddin berkata, fokus utama kerajaan pada masa ini ialah mengurangkan defisit dengan mengagihkan apa sahaja pendapatan yang ada kepada sektor yang perlu atau penting. - Bernama

0 comments: