Followers

Friday, October 23, 2009

Pemudah capai peningkatan memberangsangkan

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) telah mencapai peningkatan memberangsangkan daripada segi ketelusan dan menambah baik proses serta prosedur, menurut Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan hari ini.

Antaranya, pasukan itu telah mengurangkan masa urusan eksport dan pendaftaran hartanah, memudahkan e-transaksi dan pelancaran nombor pengenalan tunggal MyID bagi individu dan MyCoID untuk entiti perniagaan bagi berurusan dengan agensi kerajaan.

"Unit Penyampaian dan Perkhidmatan Prestasi (Pemandu) yang baru dilancarkan untuk menyelaras semua aktiviti berkaitan pencapaian matlamat Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan bidang keberhasilan utama peringkat kementerian, akan turut memberi tumpuan kepada 1Malaysia dan Perpaduan," kata laporan itu.

Unit itu akan menyelaras semua aktiviti berkaitan pencapaian matlamat NKRA serta membangunkan mekanisme pemantauan yang telus serta pelan pelaksanaannya.

Laporan itu juga menyatakan usaha pembaharuan dan penambahbaikan penyampaian secara menyeluruh akan menjadi sebahagian daripada pelan pelaksanaan selain memperkemaskan mekanisme penyampaian perkhidmatan sektor awam.

"Usaha akan dilakukan bagi meningkatkan persepsi dan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam terutama agensi penguatkuasaan," menurut laporan itu. - Bernama

0 comments: