Followers

Friday, October 23, 2009

Ekonomi negara dijangka berkembang 2-3 peratus

KUALA LUMPUR; Ekonomi negara dijangka berkembang kepada 2 hingga 3 peratus tahun depan dengan semua sektor ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor perlombongan dijangka mengalami pertumbuhan 1.1 peratus, pembuatan (1.7 peratus), pertanian (2.5 peratus), pembinaan (3.2 peratus) dan sektor perkhidmatan kekal menjadi penggerak utama, berkembang 3.6 peratus.

Pertumbuhan ekonomi ini juga didorong oleh penggunaan swasta sebanyak 2.9 peratus dan pelaburan swasta yang kembali pulih 3.4 peratus, katanya semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.

Di samping itu, katanya, peningkatan semula eksport sebanyak 3.5 peratus dianggar turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, kadar inflasi kekal rendah antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus dan kadar pengangguran rendah di bawah 4 peratus.

Katanya, pendapatan perkapita rakyat meningkat 2.5 peratus kepada RM24,661 dan pendapatan daripada segi pariti kuasa beli meningkat kepada AS$13,177.

Mengenai pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion yang dilancarkan November tahun lepas dan Mac tahun ini, beliau berkata lebih 48,000 projek telah siap dan hampir 40,000 projek sedang dilaksanakan setakat 16 Oktober tahun lalu.

Najib berkata, semua pelaksanaan pakej rangsangan itu adalah mengikut jadual dan telah berjaya mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi yang teruk.

"Pakej rangsangan ini merupakan antara yang terbesar dan komprehensif daripada segi jumlah dan liputan berbanding negara lain," katanya.

Najib berkata, Malaysia kini akan beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti nilai tambah tinggi bagi membolehkannya untuk kekal relevan dalam persaingan ekonomi global.

Perdana Menteri berkata, inovasi merupakan agenda utama negara dan kerajaan akan mentransformasikan negara melalui proses inovasi yang menyeluruh.

Ini merangkumi inovasi tadbir urus dalam sektor awam dan swasta, inovasi dalam kemasyarakatan, inovasi bandar, inovasi desa, inovasi korporat, inovasi industri, inovasi pendidikan, inovasi penjagaan kesihatan, inovasi pengangkutan, inovasi jaringan keselamatan sosial dan inovasi penjenamaan.

Sebahagian daripada proses inovasi itu sedang dilaksanakan melalui pelbagai langkah seperti Gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara(NKRA), Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan model ekonomi baru.

"Kerajaan amat komited dan serius untuk melakukan inovasi menyeluruh untuk membawa negara ke tahap ekonomi lebih maju. "Innovatif Leadership for 1United, Innovative Malaysia" (Kepimpinan Inovatif Bagi 1Malaysia Yang Bersatu, Inovatif)," katanya. - Bernama

0 comments: