Followers

Friday, October 23, 2009

Kerajaan arus perdanakan sistem pendidikan pra sekolah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengarus perdanakan prasekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan dan memastikan murid dapat membaca, menulis dan mengira sebelum memasuki tahun empat.

Menurut Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan hari ini, sebanyak 80 peratus daripada kanak-kanak akan mempunyai akses kepada prasekolah dan 100 buah sekolah akan dibangunkan sebagai pusat berprestasi tinggi menjelang 2012.

Bagi menarik golongan terbaik menyertai profesion perguruan, kerajaan akan memperkenalkan insentif yang sesuai bagi menampung keperluan di sekolah-sekolah sedia ada untuk berubah kepada institusi berprestasi tinggi.

Menurut laporan itu, pelbagai langkah juga diatur bagi meningkatkan peluang graduan mendapat pekerjaan termasuk meningkatkan dan mempromosikan latihan teknikal dan vokasional, memberi tumpuan kepada "soft skills" dalam kurikulum serta program "internship" di universiti dan institut latihan selain menggiatkan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di antara universiti dan industri.

Skim Pengurusan Pekerjaan Graduan (GEMS) yang diperkenalkan dengan usahasama GLC, dijangka akan melatih seramai 12,000 graduan dalam tempoh dua tahun yang akan mengikuti latihan kemahiran "soft-skills" selama dua bulan setengah diikuti latihan di tempat kerja selama enam bulan, kata laporan itu.

Sehingga pertengahan September tahun ini, sebanyak RM48.4 juta telah dibelanjakan di mana seramai 3,367 graduan telah dilatih dan 1,119 graduan ditempatkan di 273 syarikat dan agensi.

Menurut laporan berkenaan, Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata) dilihat telah berjaya membentuk budaya pembelajaran dan pembangunan emosi serta intelektual yang baik.

Permata akan dikembangkan ke kawasan luar bandar bagi memberi permulaan awal dan merapatkan jurang prestasi antara luar bandar dan bandar.

Menurut laporan itu, Permata telah diberikan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi menaik taraf 478 pusat aktiviti meliputi 18,000 kanak-kanak dengan sokongan 1,200 guru.

Program Permata Pintar Negara yang dilancarkan pada awal tahun ini, mengenal pasti dan mendidik kanak-kanak pintar melalui kolaborasi antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

Di bawah Program Permata Pintar itu juga, sebuah sekolah khas bagi kanak-kanak pintar dijangka beroperasi pada tahun 2011, kata laporan itu.

Selain itu, kerajaan akan terus menyokong beberapa program Permata bagi membimbing kanak-kanak berbakat dalam bidang seni, memupuk nilai-nilai moral dan keagamaan untuk remaja.

Sementara itu, bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam, program latihan di institut pusat latihan awam akan dikaji semula di samping menggalakkan kerjasama dengan institusi latihan terkenal dunia.

Penjawat awam akan didedahkan kepada latihan lanjutan, kepimpinan, penggubalan dasar dan pelaksanaan, pemantauan, penguatkuasaan serta penilaian program sektor awam. - Bernama

0 comments: