Followers

Friday, October 23, 2009

Kerajaan terus gubal dasar mesra niaga

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menggubal dasar untuk memastikan persekitaran perniagaan kondusif bagi pembangunan bidang khusus dalam sektor perkhidmatan.

Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan hari ini berkata sektor ini akan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara kerana ia amat penting sebagai punca pertumbuhan dari segi penjanaan pendapatan, pewujudan pekerjaan serta pembangunan keusahawanan.

Menurut laporan itu, kerajaan telah memberi keutamaan untuk membangunkan lagi sektor perkhidmatan untuk mencapai potensi sepenuhnya ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi sejajar dengan peralihan struktur daripada ekonomi negara berasaskan pembuatan kepada ekonomi berorientasikan perkhidmatan.

Katanya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa bidang khusus dan bidang kewangan Islam yang merupakan peneraju utama negara.

"Malaysia kini berada pada kedudukan terbaik untuk meraih peluang daripada pertumbuhan pesat kewangan Islam global dan terus melaksanakan langkah untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam," katanya.

Antara kemajuan yang telah dicapai ialah penubuhan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia pada 2006, peningkatan had pegangan ekuiti asing kepada 70 peratus bagi bank Islam dan syarikat takaful serta penawaran dua lesen baru kepada bank Islam asing dan syarikat takaful keluarga.

Menurut Kementerian Kewangan, sektor perkhidmatan menyumbang 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan 52.2 peratus kepada jumlah pekerjaan pada 2008. - Bernama

0 comments: