Followers

Friday, October 23, 2009

Hutang kad kredit tidak kritikal: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata hutang penggunaan kad kredit di negara ini tidak berada pada tahap kritikal walaupun penggunaannya sebagai instrumen pembayaran semakin meningkat.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata sehingga akhir Ogos lalu jumlah hutang terkumpul kad kredit hanya merangkumi 3.4 peratus daripada jumlah pembiayaan keseluruhan institusi perbankan.

"Tahap pinjaman tak berbayar kad kredit juga masih terkawal dan telah menurun kepada 2.4 peratus daripada jumlah hutang kad kredit pada akhir Ogos 2009 berbanding 16.1 peratus pada 1998 (ketika krisis kewangan serantau)," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Abu Bakar Taib (BN-Langkawi) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Abu Bakar dalam soalannya mahu tahu bilangan kad kredit yang telah dikeluarkan oleh bank konvensional dan perbankan Islam dan sama ada ia ditahap yang membimbangkan dengan keadaan ekonomi negara sekarang.

Najib berkata, bilangan individu muflis disebabkan hutang kad kredit pula hanya merangkumi lebih kurang 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang kad kredit utama pada tiga tahun lalu.

"Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau penggunaan kad kredit dari semasa ke semasa bagi memastikan pemegang kad menggunakan instrumen pembayaran tersebut secara berhemat," katanya.

Najib berkata, di samping itu BNM telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memulakan operasinya pada April 2006.

Agensi berkenaan menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penyusunan semula pinjaman, termasuk hutang kad kredit kepada individu.

Setakat Ogos 2009, sejumlah 11.1 juta kad kredit telah dikeluarkan oleh bank konvensional, institusi perbankan Islam, institusi kewangan pembangunan dan institusi bukan bank.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM10.11 juta kad kredit dikeluarkan oleh bank konvensional dan institusi perbankan Islam dan institusi kewangan pembangunan dan institusi bukan bank masing-masing sebanyak RM450 ribu. - Bernama

0 comments: