Followers

Thursday, October 15, 2009

Pastikan Umno parti yang 'dahulukan rakyat': Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengajak ahli dan pemimpin Umno memastikan Umno diyakini sebagai parti yang inklusif serta mendahulukan rakyat, bukannya parti yang ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, untuk sentiasa memperoleh sokongan massa, Umno harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat.

"Maka itu, persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sulungnya bertajuk "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan" pada Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Sehubungan itu, Najib berkata adalah mustahak untuk Umno menjadi parti yang berpegang kepada falsafah "wasatan" yakni bersederhana atau dengan apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai "centrist parti".

Beliau berkata, Umno tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan kerana fahaman Umno semenjak penubuhannya bukanlah condng sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman konservatif.

"Hakikatnya yang jelas, Umno adalah parti siasah yang semesta. Semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung Umno.

"Malah, semenjak penubuhannya lebih 60 tahun lalu, Umno telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan.

"Termasuklah juga lapisan golongan pemikir dan pedagang, pendidik dan pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam Umno. Tuan-tuan dan puan-puan inilah kekuatan Umno inilah lambang kebitaraan perjuangan Umno yang sebenar sebagai seuah parti tercinta yang menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani, semua golongan masyaratkat," katanya.

0 comments: