Followers

Thursday, October 15, 2009

Umno bukan parti perkauman: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Umno bukan parti yang mabukkan kuasa atau perkauman, sebaliknya parti yang mempertahankan demokrasi dan berjuang untuk kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Merujuk situasi selepas peristiwa 13 Mei 1969, Perdana Menteri berkata pemimpin Umno pada masa itu boleh memilih untuk tidak meneruskan demokrasi yang digantung dan boleh memutuskan untuk menubuhkan kerajaan satu parti atau menyokong saja pihak tentera melakukan kudeta.

"Akan tetapi harus diingat, itu semua tidak dilakukan. Malah, Umno berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa lapan belas bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa Umno bukan sebuah parti yang mabukkan kuasa, jauh sekali sebagai parti yang bersifat perkauman," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sulungnya bertajuk "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan" pada Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Merujuk sejarah arpatheid di Afrika Selatan dan situasai perkauman di Amerika Syarikat sehingga pertengahan 1960-an bagi menjelaskan maksud sebenar perkauman, Najib berkata keadaan di Malaysia amat berbeza.

Perdana Menteri menegaskan orang Melayu adalah bangsa yang bersifat amat inklusif dan merangkumi sejak dulu lagi sehinggakan Melaka mampu menjadi pelabuhan entrepot yang makmur pada abad ke-15 lagi.

"Bersabit isu ini juga, kalaulah ada mana-mana pihak yang tanpa usul periksa, begitu semberono menempelak Umno sebagai parti perkauman harus terlebih dulu mencerminkan diri secara ikhlas. Mereka harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri. Adakah ia benar-bnar melambangkan keterbukaan yang merea jerit dan laug-laungkan?

"Sedangkan jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik lain seperti diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

"Oleh itu, kepada pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku bahawa merekalah kononnya sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini," katanya.

0 comments: