Followers

Thursday, October 15, 2009

Puteri Umno sasar sejuta ahli dalam 2 tahun

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno meletakkan sasaran untuk menambah keahlian seramai satu juta ahli dalam tempoh dua tahun selaras Penunjuk Prestasi Utama Politik seperti disarankan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Naib Ketua Puteri Umno, Shahanim Mohd Yusof, berkata sasaran itu ditetapkan bagi menyahut cabaran Muhyiddin dalam ucapan dasarnya ketika majlis perasmian sayap ketiga-tiga parti berkenaan pada Perhimpunan Agung Umno 2009.

Katanya, sasaran itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana jika kerja keras dan tahap komitmen ahli Puteri dalam melaksanakan sasaran itu diambil kira termasuk kesungguhan untuk menemui akar umbi, maka ia mudah dicapai.

"Sekarang kita ada 328,000 (ahli) dan lagi dua tahun kita akan berusaha mencapai satu juta, kita akan bekerja keras dengan kembali ke kampung, cawangan dan negeri untuk mencari ahli 18 tahun dan ke atas kerana golongan inilah yang akan menjadi pengundi muda untuk pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin sasaran ini tidak mustahil jika Puteri bekerja kuat... kita akan tarik minat golongan belia dengan pelbagai program pendidikan dan apabila mereka ini mencecah umur 18 maka kita boleh dapatkan keahlian daripada mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas mengenai usaha Puteri untuk menarik belia mendaftar sebagai pengundi, Shahanim berkata, ahli yang menjangkau usia 21 akan diminta untuk segera berbuat demikian.

"Kita perlu memberi perhatian kepada golongan wanita yang kebiasaannya setia kepada sesebuah pertubuhan. Kesetiaan wanita itu kental dan saya yakin jika mereka ini menganggotai mana-mana parti mereka akan mengundi Barisan Nasional (BN) iaitu parti yang diwakilinya, tetapi jika mereka bukan ahli sesuatu parti maka ia akan jadi was was ketika mengundi," katanya.

Mengenai membentuk jaringan dengan badan bukan kerajaan (NGO), Shahanim berkata, kebanyakan belia lebih berminat untuk menyertai NGO yang menjurus kepada aktiviti dan program lebih santai dan tidak menitikberatkan aspek politik.

Sehubungan itu, katanya, usaha proaktif perlu dilakukan menerusi strategi yang tersusun bagi memastikan Puteri menjalinkan jaringan bersama NGO dalam usaha menarik belia menjadi ahli.

0 comments: