Followers

Thursday, October 15, 2009

Pemuda Umno Sabah cadang perhimpunan diadakan di setiap negeri

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Sabah mencadangkan pucuk pimpinan supaya mengadakan Perhimpunan Agung tahunan parti secara bergilir-gilir di setiap negeri.

Wakilnya, Md Joh Wid, berkata ini bagi memberi peluang kepada perwakilan Umno untuk berkunjung ke setiap negeri dan merasai sendiri kehangatan perhimpunan parti.

"Jika tahun depan Perhimpunan Agung Umno mahu diadakan di Sabah... kami sudah bersedia untuk menganjurkannya.

"Rakan-rakan boleh merasai sendiri layanan kami di Sabah. Melalui cara ini saya merasakan perwakilan juga berpeluang mengunjungi negeri kami," katanya membahas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Md Joh berkata, walaupun senario politik di Sabah kelihatan tenang, Pemuda Umno negeri itu sentiasa turun padang membantu rakyat bersama-sama parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Kami sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum Ke-13 dan yakin boleh menjuarai pengundi generasi muda," katanya.

Md Joh yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepanggar, juga berkata kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada masalah rakyat di negeri berkenaan.

"Masih banyak agenda perlu dilakukan di Sabah. Penduduk kawasan pedalaman memerlukan bekalan elektrik, air bersih, jaringan jalan raya yang strategik dan kemudahan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat berharap pada pembentangan Bajet 2010, 23 Oktober ini, kerajaan akan memberi perhatian serius kepada harga barangan di Sabah yang dilihat amat tinggi berbanding Semenanjung.

0 comments: