Followers

Thursday, October 15, 2009

Pindaan Perlembagaan dijangka jadikan Umno parti paling demokratik

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Umno hari ini bakal menukar Umno sebagai parti paling demokratik di Malaysia, malah lebih demokratik berbanding parti pembangkang, kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Katanya, Umno menjadi lebih demokratik apabila selepas pindaan dimuktamadkan proses pemilihan akan diputuskan lebih 145,000 perwakilan berbanding kini kira-kira 2,500 orang.

Ahmad berkata, pindaan berkenaan juga akan menghapuskan halangan untuk ahli Umno bertanding, selain syarat minimum akan ditetapkan untuk mereka bertanding di peringkat bahagian atau pusat.

"Kita berharap pindaan berkenaan mampu menarik lebih ramai generasi muda menyertai Umno, pada masa depan kerana semua Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri boleh meluluskan pelantikan ahli Umno.

"Pindaan esok (hari ini) juga akan menyelesaikan isu yuran. Sebelum ini ada isu ada orang tidak dapat bertanding kerana tidak membayar yuran tahunan. Kini, kita hanya perlu bayar RM2 untuk yuran seumur hidup menjadi ahli Umno, " katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, pindaan itu juga membolehkan ketua cawangan Pemuda, Wanita dan Puteri yang kalah dalam pemilihan di peringkat bahagian dilantik secara automatik sebagai perwakilan dan memilih pemimpin pusat.

Katanya, pindaan berkenaan juga membolehkan perwakilan Umno memilih pemimpin peringkat bahagian dan pusat secara serentak di seluruh negara, sekali gus dapat membendung gejala rasuah politik.

0 comments: