Followers

Thursday, October 15, 2009

Dr Mahathir kongsi pandangan martabat Melayu

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, akan mengambil bahagian dalam wacana intelek bertajuk Strategi Memartabatkan Bangsa anjuran Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 19 Oktober ini.

Forum itu adalah siri pertama wacana intelek anjuran Persatuan Alumni UiTM yang baru digerakkan semula dalam usaha menggembleng tenaga dan pemikiran lepasan universiti yang kini mencecah lebih 300,000 orang.

Dr Mahathir yang juga Penasihat Petronas selaku tetamu kehormat dan pembicara utama akan berkongsi pemikiran dan visi mengenai tajuk forum berdasarkan pengalamannya lebih dua dekad sebagai perdana menteri dan pemikir dunia bersama dengan kira-kira 150 ahli yang dijemput.

"Pemilihan Dr Mahathir sebagai pembuka tirai siri wacana intelek alumni adalah berdasarkan pandangan jauh dan tajamnya. Ia juga tanda penghargaan dan pengiktirafan seluruh anggota keluarga besar UiTM terhadap jasa dan sumbangan tidak ternilai beliau terhadap UiTM selama ini," menurut Sekretariat alumni itu dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir juga diberi penghormatan melancarkan buku terbitan alumni UiTM, termasuk yang ditulis Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.

Dr Mahathir juga akan melancarkan projek Persatuan Alumni UiTM yang menyokong usaha Mansor Puteh, Alumnus 1977, mencipta rekod dunia dengan menerbitkan sebuah edisi khas terdiri daripada 60 judul buku yang siap ditulisnya dalam bahasa Melayu dan Inggeris berjudul "The Prime Ministers of Malaysia World Record Edition".

Ia adalah bagi memberi penghormatan kepada semua Perdana Menteri Malaysia. - Bernama

0 comments: