Followers

Monday, May 25, 2009

Sabab&Sarawak: Air bersih ke seluruh Ranau 2010

RM70j bina Loji Pemprosesan Air Kundasang dalam RMK-9

RANAU: Masalah bekalan air bersih di daerah ini akan berakhir selewat-lewatnya hujung tahun depan menerusi peruntukan RM70 juta untuk pembinaan Loji Pemprosesan Air Kundasang menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata projek itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat manakala tapak pembinaan sudah dikenal pasti yang memiliki takungan air mencukupi untuk menampung keperluan pengguna di daerah ini serta daerah kecil Kundasang.

"Kita akan memastikan projek itu siap mengikut jadual demi kepentingan rakyat yang sudah lama mengidamkan kemudahan bekalan air bersih," katanya perasmian Perayaan `Tadau Kaamatan' (Pesta Menuai) Pertubuhan Kebangsaan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko) 2009 di Dewan Masyarakat Ranau di sini, kelmarin.

Hadir sama Presiden Upko yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Naib Presiden Upko yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Ewon Ebin.

Musa berkata, bagi kawasan terpencil yang berdepan masalah pemasangan paip bagi dihubungkan dengan Loji Pemprosesan Air Kundasang, ia akan diatasi menerusi pembinaan projek paip air graviti.

"Ranau adalah kawasan luas dan meliputi kawasan lembah serta berbukit yang sudah tentu memerlukan bekalan air alternatif menggunakan paip air graviti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta untuk pembinaan Kompleks Sukan Ranau bagi kemudahan masyarakat setempat bersukan dan riadah.

Katanya, projek sedang dalam pembinaan itu berupaya melahirkan masyarakat cergas dan cerdas, sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri kerana golongan itu produktif dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan awam, sektor swasta dan menjalankan kegiatan pertanian, perikanan serta kraf.

Beliau berkata, peruntukan dua projek demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat luar bandar itu adalah sejajar pendekatan kerajaan negeri iaitu kurang bercakap dan banyak bekerja untuk membela rakyat yang setia menyokong BN sejak sekian lama.

"Peruntukan ini jelas membuktikan pemimpin kerajaan dan penjawat awam sentiasa bekerjasama bagi memastikan pembangunan rakyat.

"Pelbagai projek dan agenda pembangunan di seluruh negeri dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Saya harap kerjasama ini terus ditingkatkan seiring gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” katanya.

Mengenai `Tadau Kaamatan' yang diraikan setiap Mei, Musa berkata, ia tidak terhad kepada etnik Kadazandusun dan Murut sebaliknya meliputi semua lapisan kaum dan keturunan di Sabah, sejajar pengiktirafannya sebagai perayaan nasional.

0 comments: