Followers

Monday, May 25, 2009

Pulau Pinang minta dana RM5 bilion

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menghantar cadangan dan surat kepada Pejabat Perdana Menteri meminta kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan jaminan RM5 bilion bagi penubuhan Dana Harta Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata dana itu yang akan dikenali sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Pulau Pinang akan dipermodalkan pada RM5 bilion, dikumpul menerusi terbitan Bon Islam dan dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

"PIA sama dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), di mana dana itu akan diberikan kepada Pulau Pinang untuk melaksanakan projek ekonomi mega negeri dengan nilai tinggi," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Jawatankuasa Senat Hal Ehwal Asing Thailand, di sini, hari ini.

TIA, yang ditubuhkan pada Februari tahun ini, akan mempunyai saiz dana awal RM11 bilion, dengan RM5 bilion akan dikumpul daripada pasaran modal dengan sokongan daripada jaminan kerajaan dan baki dikumpul menerusi pemindahan kepada TIA sebahagian daripada royalti minyak masa depan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri Terengganu.

Lim berkata, sekiranya Kerajaan Persekutuan boleh memberi jaminan sokongan PIA dengan RM5 bilion, kerajaan negeri yakin dapat mengumpul RM5 bilion lagi.

"Dengan jaminan RM5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan, kami yakin kami boleh mengumpul RM5 bilion lagi untuk menjalankan projek prasarana, penyelidikan dan pembangunan dan projek pendidikan bagi Pulau Pinang.

"Kami tidak meminta RM11 bilion lagi, kami hanya meminta jaminan RM5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan," katanya. Dalam surat kepada Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, Lim menyatakan bahawa kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa aktiviti ekonomi sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi negeri itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, semua projek tersebut penting bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar raya antarabangsa, destinasi pilihan pelancong, serta lokasi pilihan pelabur. - Bernama

0 comments: