Followers

Monday, May 25, 2009

Sabah&Sarawak: DBKK saman peniaga di kaki lima tiada permit

Tindakan pastikan barang jualan tak halang laluan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan penggunaan kaki lima kedai selepas peraturan mewajibkan peniaga mendapatkan permit dikuatkuasakan, Januari lalu.

Ketua Bahagian Pelesenan DBKK, Sairullizam Sukor, berkata pihaknya sudah memberi notis terhadap peniaga yang dikesan menggunakan kaki lima kedai bagi meletak barangan jualan, termasuk peniaga di pekan pinggir bandar seperti Inanam dan Telipok.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan penggunaan kaki lima kedai oleh peniaga tidak menghalang laluan orang ramai dan dibuat secara teratur supaya kelihatan kemas bagi menjaga imej bandar raya.

"Sebelum ini hanya peniaga kedai makanan dan minuman atau restoran diwajibkan mendapatkan permit DBKK jika hendak menggunakan kawasan kaki lima atau ruang kosong depan kedai bagi menjalankan perniagaan.

“Bagaimanapun, kami mengambil keputusan memperluaskan cakupan peraturan itu kepada jenis perniagaan lain seperti kedai runcit, barangan keperluan rumah dan pakaian kerana ramai pemilik kedai terbabit dikesan menggunakan kawasan kaki lima kedai meletak barangan jualan," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini 12 peniaga dikenakan kompaun maksimum RM500 manakala barangan jualan mereka dirampas berikutan kegagalan mendapatkan permit meletak barangan di kawasan kaki lima kedai daripada DBKK.

Katanya, sejak dikuatkuasakan 14 Januari lalu, kira-kira 200 permohonan diterima daripada peniaga sekitar bandar raya untuk menggunakan kawasan kaki lima kedai sebagai tempat meletak barangan.

"Kita sudah mengedarkan notis dan borang permohonan kepada semua pemilik kedai yang dikesan meletak barangan di kaki lima tetapi tidak semua memohon permit.

“Ini kerana ada yang tidak lagi meletak barangan di kawasan kaki lima selepas notis itu dikeluarkan.

"Bagaimanapun, kami yakin masih ramai peniaga yang menggunakan kawasan kaki lima kedai tetapi belum mendapatkan permit daripada DBKK. Kami minta mereka segera berbuat demikian sebelum dikenakan tindakan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam DBKK, Syron Tunggolou, berkata peraturan penggunaan kawasan kaki lima kedai dan ruang kosong berhadapan kedai di bandar raya ini asalnya diwujudkan berikutan pelaksanaan projek Medan Mesra Pejalan Kaki di Jalan Gaya pada 2000.

Ketika itu, katanya, DBKK mengeluarkan polisi baru mengenai penggunaan kawasan berkenaan dengan membenarkan peniaga kedai makanan dan minuman atau restoran menggunakan ruang kosong di hadapan kedai untuk menempatkan meja dan kerusi.

Sebelum polisi itu dilaksanakan, katanya, peniaga di bandar raya ini dilarang menggunakan kaki lima dan ruang kosong di hadapan kedai untuk kegiatan perniagaan mereka.

"Walaupun projek Medan Mesra Pejalan Kaki itu gagal, polisi berkenaan masih diguna pakai. Ia mewajibkan peniaga memohon permit daripada DBKK sebelum menggunakan kawasan kaki lima atau ruang kosong di hadapan kedai.

"Kini polisi itu diperluaskan kepada jenis perniagaan lain yang ada menggunakan kawasan kaki lima atau ruang kosong hadapan kedai," katanya.

0 comments: