Followers

Monday, May 25, 2009

Sabah&Sarawak: Perbanyak rawatan percuma di kampung

PAPAR: Jabatan Kesihatan perlu menganjurkan lebih banyak program pendidikan di kawasan kampung bagi menyebarkan maklumat berkaitan kesihatan dan menyediakan rawatan atau pemeriksaan percuma kepada penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata langkah itu perlu bagi mendidik penduduk kampung mengenai pelbagai aspek kesihatan dan menyedarkan mereka kepentingan penjagaan kesihatan diri dan keluarga.

Katanya, kebanyakan penduduk kampung tidak mendapat maklumat lengkap mengenai kesihatan atau tidak membuat pemeriksaan kesihatan dan jarang berkunjung ke klinik atau hospital kecuali apabila sakit.

"Justeru, Jabatan Kesihatan perlu mengadakan program di kampung supaya penduduk diberi maklumat lengkap mengenai kesihatan sebagai panduan.

"Selain itu, penduduk kampung juga boleh memanfaatkan program berkenaan untuk memeriksa tahap kesihatan mereka dan mendapatkan nasihat pakar mengenai penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program pendidikan kesihatan anjuran Jabatan Kesihatan Papar yang dihadiri kira-kira 500 penduduk di Dewan Mini Kampung Kelanahan di sini, kelmarin.

Katanya, kerajaan sentiasa menyokong usaha Jabatan Kesihatan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan di kalangan rakyat, khususnya penduduk kampung di kawasan luar bandar.

“Selaku wakil rakyat, saya mengalu-alukan pendekatan turun padang yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai penjagaan kesihatan," katanya.

Abdul Rahim turut mengingatkan ibu bapa supaya mengambil berat penjagaan kesihatan anak mereka, khususnya bayi berumur tiga hingga enam bulan.

Katanya, bayi dan kanak-kanak memerlukan pemeriksaan dan penjagaan kesihatan yang rapi bagi memastikan pembesaran fizikal dan mental mereka tidak terjejas.

“Jangan ragu untuk datang ke klinik kerana kakitangan kesihatan di sana mempunyai kepakaran dan peralatan yang cukup. Ia memang tugas mereka untuk memeriksa tahap kesihatan dan merawat orang ramai,” katanya.

0 comments: