Followers

Monday, May 25, 2009

TNB sasar guna loji nuklear menjelang 2025

TERENGGANU: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menetapkan sasaran memulakan operasi loji tenaga nuklear pertamanya menjelang 2025, jika kerajaan memutuskan untuk menjadikan nuklear senagai opsyen tenaga yang boleh diterima.

Ketua Unit Tenaga Nuklear TNB, Dr Mohd Zamzam Jaafar, berkata TNB tidak dapat mengetepikan tenaga nuklear ketika berlaku ketidaktentuan bekalan tenaga untuk masa depan serta harga bahan api fosil yang turun naik, selain sumber gas.

"Bagi memastikan bekalan elektrik boleh dipercayai dan harga yang munasabah, opsyen nuklear bebanan asas yang sudah terbukti, tidak boleh dinafikan," katanya pada talimat media mengenai pelan masa depan tenaga TNB, di Pulau Perhentian Besar, sebuah resort kepulauan di Terengganu.

Dr Mohd Zamzam berkata menjelang 2019, sumber bekalan tenaga alernatif akan menjadi kritikal memandangkan sumber gas akan susut pada masa itu.

Harga arang batu katanya juga sentiasa turun naik.

Penggunaan tenaga TNB meliputi gandingan gas (kira-kira 50 peratus), arang batu (35 peratus), hidro (14 peratus dan minyak (lebih daripada satu peratus).

Menerusi pembukaan loji nuklear pertama di Malaysia, Dr Mohd Zamzam berkata TNB akan menyertai senarai negara yang sudah membuka loji tenaga nuklear seperti Kanada, Perancis, Jerman, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Dari segi kos bekalan elektrik, beliau berkata tenaga nuklear juga lebih kompetitif berbanding sumber tenaga lain.

"Berdasarkan harga jualan di Bursa Tenaga Korea, harga jualan nuklear hanya 3.9 USsen/kwh berbanding 71.1 USsen/kwh bagi solar (paling mahal), minyak 11.7 USsen/kwh, angin 10.7 USsen/kwh, LNG 10.4 USsen/kwh, hidro 9.4 USsen/kwh, arang batu lembut 4.1 USsen/kwh dan arang batu keras 6.5 USsen/kwh," katanya.

Dr Mohd Zamzam berkata penggunaan tenaga nukluar juga menangani isu keperluan tanah dan sumber memandangkan ia tidak memerlukan tanah yang luas dan faktor kapasiti berbanding sumber tenaga lain seperti angin, fotovoltaik, biomass, biominyak dan bioalkohol.

Tenaga nuklear juga mempunyai pendedahan radioaktif yang rendah.

"Paras radiasi sasaran di sekitar stesen loji nuklear ialah 0.05 mSv setahun berbanding kira-kira 2.4 mSv/setahun (purata dunia) pendedahan radiasi semula jadi daripada pengimbas CT dada x-ray dengan pendedahan 6.9 mSv setiap pemeriksaan, radiasi dari kawasan tapak ialah 0.48 mSv setahun berbanding kajian baru-baru ini," katanya.

Dr Mohd Zamzam berkata kos loji tenaga nuklear menurut reka bentuk China bagi 1,000 MW akan menelan belanja AS$2 bilion manakala reka bentuk Russia pula menelan kos dua bilion euro.

Kos aktiviti penyelidikan dan daya maju katanya berkemungkinan mulai RM2 juta.

"Kami akan bekerjasama dengan Korea Electric Power Corporation bagi melaksanakan kajian awal mengenai daya maju projek nuklear itu," katanya.

Beliau berkata menerusi tenaga nuklear, sumber tenaga akan lebih stabil, yang menjurus kepada tarfi elektrik yang lebih stabil.

Dr Mohd Zamzam menegaskan kejayaan projek tenaga nuklear memerlukan pembabitan kerajaan yang menyeluruh serta berstruktur.

Beberapa inisiatif diperlukan untuk melaksanakan loji tenaga nuklear dengan jayanya di Malaysia termasuk dasar prasarana dan fi pelesenan.

"Dalam pemerolehan, Malaysia perlu memberi perhatian khusus kepada reka bentuk reaktor standard yang baru muncul. Rujukan juga perlu dibuat terhadap garis panduan Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA)," katanya.

IAEA ialah pusat kerjasama dunia dalam bidang nuklear. Agensi itu bekerjasama dengan rakan usaha samanya di seluruh dunia bagi menyediakan teknologi nuklear uang selamat, terjamin serta aman.

Naib Presiden Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata kerajaan belum membuat sebarang kenyataan dasar mengenai nuklear.

"Kami mempunyai opsyen yang kecil dan berhadapan dengan kekangan dengan pilihan tenaga yang lain. Arang batu sebagai contoh, tertakluk kepada harga pasaran dunia dan keputusan geopolitik," kata Abdul Razak pada sidang media selepas taklimat oleh Dr Mohd Zamzam. - Bernama

0 comments: