Followers

Monday, May 25, 2009

Pusat Permata realisasi konsep 1Malaysia: Rosmah

KUALA LUMPUR: Pusat Anak Permata Negara (PAPN) akan merealisasikan konsep "1Malaysia" di kalangan kanak-kanak di negara ini melalui sukatan pelajarannya.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata sukatan pelajaran yang sedang diguna pakai oleh Pusat Permata sememangnya menerapkan proses pembelajaran yang tidak membezakan sesuatu kaum, latar belakang mahupun agama.

"Usia satu hingga lima tahun adalah peringkat paling sesuai untuk membentuk kemahiran berfikir dan daya ketahanan diri pada anak-anak dengan pendedahan awal berkomunikasi dan bergaul secara semulajadi," katanya kepada pemberita selepas ditemubual oleh Radio 24 di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, di pusat asuhan Permata, kanak-kanak melalui persekitaran selesa dan menyeronokkan tanpa merasakan perbezaan antara kaum itu seperti bersama-sama menyanyi lagu Negaraku dan mempelajari Rukun Negara.

"Di pusat Permata kita mahukan kanak-kanak melalui cara (proses) berinteraksi yang baik tanpa perlu dipaksa-paksa atau mengkehendaki mengadakan suatu program khas untuk membentuk semangat perpaduan di kalangan mereka," katanya.

Rosmah yang juga penaung dan pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata Negara berkata melalui laporan yang diterima terhadap perkembangan pusat itu, kanak-kanak yang diasuh di pusat Permata melalui proses pergaulan sihat di mana mereka sudah pandai berbahasa dalam dialek kaum lain.

PAPN adalah projek perintis yang beroperasi sejak 1 Mac 2007, yang memberikan perkhidmatan pengasuhan dan didikan awal untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, dengan keutamaan diberikan kepada ibu bapa berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Pengasuhan di PAPN berbeza dengan taska biasa kerana ibu bapa perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya sejam setiap minggu untuk bersama dengan anak mereka di pusat itu selain melawat pada waktu makan tengah hari untuk mewujudkan hubungan lebih erat antara ibu bapa dan anak.

Rosmah mengharapkan satu kementerian akan membentuk satu jabatan khas bagi menyelia silibus yang diguna pakai pusat Permata ke peringkat yang lebih meluas kepada semua tadika dan pusat asuhan kanak-kanak yang lain.

Katanya, menjelang hujung tahun ini, lebih 300 tabika Kemas dikenali sebagai Permata dan menjelang tahun depan semua tabika Kemas akan mengikuti sukatan pelajaran Permata. - Bernama

0 comments: