Followers

Monday, May 25, 2009

Sabah&Sarawak: RM18.3j tingkat perikanan jana ekonomi nelayan

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan RM18.3 juta bagi melaksanakan projek pembangunan perikanan untuk masyarakat nelayan di Sabah sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata peruntukan itu bertujuan memajukan industri perikanan di Sabah, selaras usaha meningkatkan pendapatan nelayan dan menyumbang kepada peningkatan perolehan ekonomi negeri.

Antara projek itu, katanya, ialah Pakej Rangsangan Ekonomi, Pembangunan Masyarakat dan Institusi Nelayan, Pinjaman Dana Nelayan, Program Transformasi Nelayan, Penangkapan Ikan, Akuakultur dan Pembangunan Industri Nelayan.

“Penyaluran peruntukan itu membuktikan iltizam LKIM dalam usaha membangunkan industri perikanan di Sabah yang masih ketinggalan berbanding negeri lain," katanya di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, berkata masih banyak ruang dan peluang boleh dimanfaatkan LKIM dalam mengembangkan industri perikanan di Sabah.

Katanya, antara pendekatan yang dilaksanakan LKIM ialah memperkenalkan program transformasi nelayan iaitu menukar kaedah menangkap ikan secara tradisional kepada kaedah moden yang lebih cekap dan menguntungkan.

“Menerusi program ini, nelayan tradisional akan bergabung seramai tiga hingga empat orang dan mengusahakan sebuah bot yang lengkap dengan peralatan dan teknologi canggih.

“Dengan cara ini, mereka akan keluar ke laut dalam supaya dapat menangkap banyak ikan. Tangkapan yang banyak menjanjikan pendapatan yang lumayan kepada mereka," katanya.

Setakat ini, katanya, seramai 22 kumpulan transformasi nelayan diwujudkan di Sabah dengan pembabitan 70 nelayan tradisional.

“Saya menggesa kepada nelayan tradisional di negeri ini supaya memanfaatkan peluang yang disediakan oleh LKIM ini bagi mengubah masa depan mereka agar tidak lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang,” katanya.

0 comments: