Followers

Monday, October 26, 2009

Strategi baru pengurusan aset negara: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Strategi perolehan baru, perancangan bersepadu dan pembangunan lestari antara inisiatif yang akan dipertimbangkan dalam pelaksanaan Pengurusan Aset Menyeluruh untuk Rancangan Malaysia ke-10, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil beberapa usaha untuk menggunapakai Konsep Pengurusan Aset Secara Menyeluruh ini sebagai kerangka pengurusan strategik.

"Konsep Pengurusan Aset Menyeluruh ini yang telah diguna pakai di negara maju, wajar juga diamalkan di Malaysia.

"Ini adalah kerana ia bersifat holistik, inklusif dan memiliki pendekatan penyelarasan yang mantap," katanya semasa merasmikan Konvension Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, untuk strategi perolehan baru, kejayaan dan penggunaan strategi perolehan seperti Inisiatif Pembiayaan Swasta dan Reka Bentuk Senggara serta perkongsian strategik yang digunakan di dalam Kerjasama Swasta-Awam oleh negara-negara maju boleh digunakan sebagai rujukan.

Beliau berkata, dengan adanya pendekatan ini, sektor awam boleh menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan mereka.

Katanya, perancangan bersepadu juga boleh menjana aktiviti ekonomi sampingan dan boleh dipertimbangkan sebagai alternatif dalam mengoptimumkan penggunaan tanah dan perkongsian fasiliti.

"Peningkatan kos, kekurangan bahan binaan dan tapak yang terhad adalah antara cabaran yang perlu kita hadapi masa kini," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam perancangan masa kini aspek pembangunan lestari perlu diberi penekanan.

Katanya, penggunaan teknologi hijau, terutama dalam bidang kecekapan tenaga dan tenaga diperbaharui juga perlu dimanfaatkan.

"Oleh itu, inisiatif 'Bangunan Hijau' perlulah diberi pertimbangan sewajarnya. Ini adalah amanah dan tanggung jawab kita untuk generasi akan datang," katanya.

Pada sidang media kemudian, Timbalan Perdana Menteri berkata untuk Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), pelaksaananya akan lebih fleksibel dengan mengambil pendekatan format rancangan boleh pinda berbanding rancangan yang sebelumnya.

Pendekatan ini, katanya, akan membolehkan setiap rancangan disesuaikan mengikut cabaran ekonomi yang sentiasa kompetitif.

"Pelaksanaan pembangunan berasaskan model baru ini akan memberi kita ketangkasan bertindak pada waktu yang tepat," katanya, sambil menambah kaedah itu juga akan menjadi asas bagi pengurusan aset mengikut keadaan dan keperluan semasa.

"Ini dapat meningkatan nilai aset negara sekali pun pada masa kegawatan. Kalau mengikut sistem belanjawan dahulu, ia mengikut tahunan yang mana ia terikat dengan prosedur. Jadi kita nak ubah sekarang. Mengikut bajet yang boleh dipinda, ia akan berterusan setiap tahun.

"Jadi kita boleh mengambil langkah lebih segera dan tidak perlu menunggu tempoh tertentu dan khazanah kita ini pasti dapat disenggarakan dengan cara yang terbaik," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan turut mencari langkah bagi mengurangkan perbelanjaan dan memaksimumkan penggunaan kemudahan awam secara kreatif dan inovatif bagi menampung kos operasi dan penyenggaraaan melalui konsep pengewangan.

"Dalam Budget 2010 baru-baru ini pun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah menyatakannya.

"Sebagai contoh, jika satu bangunan itu dimiliki oleh satu agensi kementerian dan ianya kosong, ia boleh sewakan dan hasilnya separuh akan diberikan kepada pihak agensi dan kementerian bagi senggaraan dan yang lain akan diberi kepada kementerian kewangan atau pun perbendaharan," katanya.

Bayaran yang dikenakan itu, katanya. - Bernama

0 comments: