Followers

Monday, October 26, 2009

LPK buat aduan kepada badan profesional terhadap tiga perundingnya

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), hari ini membuat aduan kepada badan profesional yang berkaitan, berhubung tiga daripada perundingnya yang didakwanya sebagai terbabit dengan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pengerusinya, Lee Hwa Beng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan LPK hari ini, berkata pihaknya membuat aduan kepada Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara Majlis Peguam terhadap Messrs Rashid Asari & Co. (RA), yang menjadi peguamcara bagi pihak LPK dalam urusan pembelian tanah PKFZ dan perjanjian pembangunan antara LPK dan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Menurut kenyataan itu RA bertindak mewakili KDSB sebelum ia mewakili LPK.

"PKA memutuskan terdapat salah laku profesional di pihak RA, di mana RA meletakkan kedudukannya dalam keadaan konflik berkepentingan yang menyaksikan wujudnya “berat sebelah” yang berpihak kepada KDSB dan menjejaskan PKA," katanya.

Menurutnya, LPK turut membuat aduan kepada Lembaga Juru Ukur Bahan Malaysia terhadap Perunding BE Sdn Bhd, antaranya berhubung kegagalannya menggunakan kepakaran serta penjagaan yang berpatutan dalam membuat penilaian sepatutnya mengenai kos projek dan dalam melaksanakan tanggungjawab profesional mereka kepada LPK.

Ia juga membuat aduan kepada Lembaga Arkitek Malaysia terhadap BTA Architect Sdn Bhd, antara lain berhubung pelbagai tugas yang dilaksanakannya di PKA yang dilihat cuai, semasa melaksanakan tugas profesional sebagai arkitek.

PKFZ, sebuah hab pemindahan ke kapal yang dibina di tapak seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang, diselubungi kontroversi berikutan pendedahan bahawa kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

LPK membeli 400 hektar tanah PKFZ di Pulau Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan kos RM25 bagi setiap kaki persegi, dan syarikat itu kemudiannya dilantik sebagai pemaju projek berkenaan.

LPK sebelum ini membuat dua laporan polis berhubung dakwaan "over-billing" mencapai RM1 bilion dan wujud konspirasi untuk menipu LPK, kedua-duanya membabitkan kontraktor turnkey, Kuala Dimensi Sdn Bhd dan kontraktor pembangunan projek itu BTA Architects.

Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas 11 ahli yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi memulihkan projek PKFZ itu serta mengenal pasti langkah untuk memajukannya.

Pasukan petugas itu juga antara lain, akan menentukan salah laku atau perbuatan jenayah mana-mana individu atau entiti yang terbabit dalam projek tersebut serta mengesyorkan tindakan yang perlu diambil terhadap mereka. - Bernama

0 comments: