Followers

Monday, October 26, 2009

Malaysia guna diplomasi selesaikan isu sensitif dengan Indonesia

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menggunakan saluran diplomasi bagi menyelesaikan isu-isu sensitif yang berlaku di antara Malaysia dengan Indonesia, kata Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay.

Beliau berkata, di peringkat tinggi, hubungan antara kedua-dua pemimpin negara berjiran itu juga sangat akrab.

"Mereka sering berhubung melalui telefon untuk membincangkan secara terus ada jua perkara atau permasalahan yang memerlukan perhatian yang segera," katanya.

Katanya, kementerian turut mengambil beberapa inisiatif segera dalam mengatasi isu-isu sensitif, termasuk memberi penjelasan di saluran media tempatan dan antarabangsa termasuk di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

"Ini adalah bagi memaklumkan rakyat kedua-dua negara, khususnya media, supaya mengambil langkah sewajarnya, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia adalah terpelihara dan diberi keutamaan," katanya menjawab soalan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang ingin tahu sejauh manakah hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia kekal mesra dan akrab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Kohilan berkata, walaupun terdapat segelintir kumpulan di Indonesia yang cuba menggugat hubungan baik kedua-dua negara dengan menggunakan provokasi media, hubungan antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara adalah baik dan jitu.

Kohilan berkata, hubungan itu turut dipupuk menerusi beberapa mekanisme seperti Rundingan Tahunan antara Perdana Menteri dengan Presiden Republik Indonesia, Mesyuarat Suruhanjaya Bersama dan juga melalui kerjasama Kumpulan Tokoh-tokoh Terkemuka(EPG).

Di peringkat rakyat, khususnya belia, Kohilan berkata, kini terdapat hampir 15,000 pelajar dari Indonesia mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di pusat pengajian tinggi di sini, manakala terdapat 6,000 pelajar Malaysia di Indonesia.

"Mereka ini (pelajar Indonesia) pada suatu hari nanti diharap akan menjadi sahabat Malaysia dan penuntut Malaysia di Indonesia pula akan menjadi “duta kecil” kita, untuk tujuan merapatkan hubungan antara kedua-dua negara," katanya. - Bernama

0 comments: