Followers

Monday, October 26, 2009

Projek mega bantu rangsang ekonomi: Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahan pelaksanaan projek mega di negara ini kerana ia membantu menghasilkan kesan limpahan dan merangsang ekonomi.

"Apabila kerajaan membina projek mega, kesan limpahannya sangat besar. Kesemua kontraktor turut mendapat hasil perniagaan dan sama juga kontraktor kecil, pembekal, pekerja dan malah penjual nasi lemak turut mendapat perniagaan kerana mereka boleh turut menjual sesuatu kepada pekerja," katanya selepas menghadiri Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara di sini, hari ini.

"Mereka merangsang ekonomi dan sambil itu mereka turut membayar cukai, yang termasuk penjual nasi lemak kerana masih perlu mendapatkan banyak perkara dari pemborong yang turut membayar cukai," katanya.

Dr Mahathir berkata, perolehan negara meningkat setiap tahun kerana ekonomi dirangsang oleh kerajaan serta sektor swasta.

"Jadi, apabila kerajaan membelanjakan wang, ia mendapat semula wang berkenaan. Jika tidak, bagaimanakah anda menjelaskan kerajaan mempunyai banyak wang setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, sektor swasta dan bukan kerajaan perlu bertanggung jawab bagi membina projek mega kerana ahli perniagaan selalunya tahu menjana wang dari pelaburan masing-masing.

"Perniagaan bermakna anda mendapat sedikit modal, melakukan perniagaan dan menjana keuntungan. Jika anda mahu mengembangkannya, gunakan wang atau pinjaman dari bank," katanya, sambil menyatakan bahawa kerajaan perlu melakukan eksesais penswastaan.

Mengulas Bajet 2010, Dr Mahathir enggan membuat sebarang ulasan.

"Sebelum anda membuat sebarang ulasan, anda perlu meneliti bajet berkenaan dengan teliti kerana dari pengalaman saya, ulasan hari pertama biasanya sangat baik dan semua pihak gembira. Tetapi, kemudiannya, apabila mereka mulai mengkaji agenda tersembunyi, mereka kemudiannya sangat kecewa," katanya.

"Jadi, saya masih tercari-cari agenda tersembunyi berkenaan," katanya. - Bernama

0 comments: