Followers

Monday, October 26, 2009

Mustafa perjelas isu Pas hari ini

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas bagi menjelaskan mengenai isu-isu semasa melibatkan parti itu di sini, pukul 11 pagi esok.

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, sidang akhbar itu membuka ruang pihak media mendapatkan penjelasan di sebalik isu-isu yang timbul termasuk desakan diadakan Muktamar Agung Pas (EGM) oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

‘‘Itu sahajalah yang saya boleh beritahu. Anda (wartawan) juga boleh bertanya mengenai EGM atau pun prestasi semasa UMNO,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber dalaman parti tersebut memberitahu, sidang akhbar itu bertujuan menjelaskan krisis kepimpinan Pas seperti dilaporkan media kebelakangan ini.

Nik Abdul Aziz kelmarin menyatakan bahawa Mustafa adalah antara tiga pemimpin bermasalah yang perlu ‘dibersihkan’ daripada parti kerana disifatkan prokerajaan perpaduan.

Dalam entri blognya, Nik Abdul Aziz menulis:

‘‘Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama Pas dengan UMNO ke arah Kerajaan Perpaduan atau UG.

‘‘Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?”

Ekoran itu, Nik Abdul Aziz mencadangkan Pas mengadakan EGM bagi menukar dan membersihkan barisan kepimpinan pusat parti berkenaan.

Selain Mustafa, Nik Abdul Aziz juga mahu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Hassan ‘dibersihkan’ daripada parti itu.

0 comments: