Followers

Monday, October 26, 2009

Hasil kajian semula NAP diumumkan minggu ini

KUALA LUMPUR: Hasil kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) akan diumumkan dalam minggu ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed hari ini.

"Dua atau tiga hari lagi saya akan umumkan. Esok, kita akan pastikan bila (tarikhnya)," katanya selepas menghadiri Majlis Kemuncak Program Kualiti dan Inovasi kementerian itu, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, beliau berkata, hasil kajian semula dasar itu mungkin akan diumumkan selewat-lewatnya awal bulan hadapan.

Sebelum itu, hasil kajian semula NAP dijangka diumum pada September lalu, tetapi ditangguhkan ke satu tarikh baru.

"Tiada masalah untuk diumumkan dalam minggu ini," katanya.

NAP, yang diperkenalkan pada 2006, membabitkan tidak kurang 150,000 orang dalam bidang pengeluaran, jualan, pengedaran dan pembiayaan kereta di negara ini.

NAP baru itu akan mempunyai dasar jelas untuk masa depan Proton, pembuat kereta nasional dan syarikat lain termasuk pengilang komponen, vendor dan pengedar.

Mustapa berkata, sebahagian hasil kajian semula dasar itu sudah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu.

Ia berkaitan untuk mengenakan RM10,000 ke atas pemegang Permit Import (AP) terbuka bagi setiap AP yang dijual.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kementerian itu akan memperhebat mempromosi perdagangan ke pasaran baru seperti ke negara bekas Soviet seperti Uzbekistan, Kazakhstan dan Tajikistan, selain menerokai pasaran Russia dan negara Amerika Selatan seperti Brazil.

"Negara-negara ini mempunyai perdagangan yang kecil (dengan Malaysia) tetapi potensinya besar. Ini adalah fokus kita pada tahun hadapan selain memantapkan pasaran tradisi kita," katanya.

Beliau berkata, tumpuan pada tahun depan juga adalah untuk mengimbangi kemasukan pelaburan asing dan domestik.

"Pada ketika ini, kita, melalui MIDA, memberi tumpuan hampir 70 peratus usaha menarik pelaburan asing ke dalam negara. Tetapi, pada tahun hadapan kita akan mengimbangi pelaburan domestik sebanyak 50 peratus."

MIDA atau Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia adalah agensi utama kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat yang berhasrat untuk melabur dalam negara. - Bernama

0 comments: