Followers

Tuesday, October 12, 2010

Malaysia catat RM9.6 bilion FDI perkilangan Januari-Julai 2010

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM9.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, petanda memberangsangkan bahawa pelabur asing masih mempunyai keyakinan terhadap
sektor perkilangan negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata jumlah itu melibatkan 230 projek perkilangan yang diluluskan. "Mereka (pelabur asing) masih lihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan memenuhi aspirasi pelaburan mereka," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad (BN-Mukah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Muhammad bertanyakan jumlah pelaburan asing yang masuk ke negara ini pada 2009 dan 2010.

Mukhriz berkata antara sektor yang menjadi tarikan pelaburan dari luar negara ialah sektor elektronik dan elektrik, galian dan bukan logam, pengilangan makanan, produk logam fabrikasi, peralatan ukuran dan saintifik, kimia dan bukan kimia serta sektor logam asas.

Beliau berkata jumlah FDI pada keseluruhan tahun lalu pula adalah sebanyak RM22.9 bilion yang melibatkan 390 projek perkilangan.
Katanya, berdasarkan catatan FDI itu, jelas menunjukkan pelabur asing masih mempunyai keyakinan terhadap sektor perkilangan Malaysia dan tidak mempunyai masalah dengan apa jua isu yang timbul dalam negara.

Antara faktor yang menyebabkan Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik ketika pasaran dunia terjejas akibat krisis kewangan global adalah berikutan usaha kerajaan melakukan transformasi dalam ekonomi negara.

Setakat ini Malaysia masih tersenarai sebagai satu daripada 15 negara utama FDI bagi 2010 hingga 2012. - BERNAMA

0 comments: