Followers

Tuesday, October 12, 2010

Kisah pertempuran Perang Uhud sentuh sanubari jemaah

MADINAH: Peristiwa pertempuran hebat antara 700 pejuang Islam dan 3,000 tentera Musyrikin Makkah pada tahun ketiga Hijrah di Bukit Uhud di sini meninggalkan kesan amat mendalam dalam hati sanubari jemaah haji Malaysia yang menziarah medan pertempuran itu.


Seramai 70 sahabat Nabi Muhammad SAW syahid dalam peperangan ini antaranya bapa saudara baginda, Saidina Hamzah Abdul Mutalib; ketua pemanah, Abdullah Ibn Jasi; dan pembawa panji tentera Islam, Musah Ibn Umair.

Rasulullah sendiri mengalami kecederaan dan terpaksa mencari perlindungan bersama keempat-empat sahabat baginda di gua Uhud akibat serangan hebat tentera Musyrikin. Peperangan itu dimenangi tentera Islam.

Jemaah yang mendengar penerangan mengenai pertempuran bersejarah itu oleh muzawir (pemandu pelancong) yang disediakan bahagian Bimbingan, Ibadat dan Ziarah Tabung Haji (TH) menjadi terharu dan pilu.


Malah seorang guru dari Kota Baharu, Kelantan, Rohana Ahmad, 48, mengalirkan air mata semasa ditanya perasaannya mengenai kesukaran yang ditempuh Rasulullah dalam menyampaikan syiar Islam.


Suaminya, Zulkifli Mamat, 50, tidak mampu meluahkan perasaan beliau dan membiarkan Rohana bercakap.


"Pengorbanan umat Islam dahulu menginsafkan saya. Hasilnya, Islam hari ini berkembang ke seluruh pelusuk dunia," kata Rohana semasa ditemui pasukan media Tabung Haji yang membuat liputan haji tahun ini semasa melakukan ziarah luar di Bukit Uhud, tiga kilometer ke utara Madinah, hari ini.
Program ziarah sunat di sekitar Madinah diatur bahagian tersebut, disertai lebih 1,000 jemaah yang tiba dengan penerbangan KT1, KT2 dan KT3.


Pengurus bahagian itu, Mohd Razali Zakaria berkata perkhidmatan tambahan TH itu dibantu 123 muzawir terdiri daripada pelajar Malaysia yang berlajar di universiti di Madinah.


Beliau berkata, banjir besar yang melanda kawasan itu pada 1940 menyebabkan mayat para shuhada tersebut timbul dan kerajaan Arab Saudi mengebumikannya semula.


Tempat lain yang diziarah ialah Masjid Qu'ba, masjid pertama didirikan Nabi Muhammad di Madinah pada tahun pertama Hijrah di Kampung Ibnu Amru Auf, tiga kilometer di selatan Madinah.


Katanya, ganjaran mengerjakan solat di Masjid Qu'ba sama seperti sekali mengerjakan umrah.


Tempat lain yang diziarah ialah Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat), Masjid Tujuh dan Mazra' (ladang tamar). - BERNAMA


0 comments: