Followers

Tuesday, October 12, 2010

Pendidikan kunci kanak-kanak jadi pemimpin, warga bertanggungjawab: Rosmah

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berkata pendidikan khususnya pada usia muda adalah alat paling penting untuk membentuk kanak-kanak menjadi pemimpin dan warga bertanggungjawab ke arah menjadikan dunia ini lebih baik.

Isteri Perdana Menteri berkata, pendidikan akan menyediakan kanak-kanak dengan kemampuan dan sistem nilai untuk menjadi pemimpin yang baik selain berkeupayaan untuk meningkatkan darjat mereka.
Dalam ucap utamanya pada Sidang Kemuncak Wanita Pertama di Palace of the Golden Horses dekat sini hari ini, Rosmah berkata kanak-kanak perlu dididik bukan saja untuk mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga untuk memupuk dan membentuk masyarakat harmoni yang mengambil kira kepentingan rakyat.
"Saya yakin pendidikan yang bermula di peringkat awal kehidupan seorang kanak-kanak, disusuli bidang kerja dan pembelajaran seumur hidup, bukan saja kunci ke arah menjadi seorang dewasa yang berilmu dan kreatif tetapi juga menjadi asas ke arah memupuk nilai, etika dan peranan yang akhirnya akan membentuk ciri dan pertumbuhan negara serta perpaduan masyarakat," katanya.

Seramai 15 Wanita Pertama menghadiri sidang kemuncak itu yang memberi penekanan kepada masa depan kanak-kanak. Enam lagi Wanita Pertama menghantar wakil mereka.

Sidang kemuncak yang diilhamkan oleh Rosmah itu bertujuan mencari jalan bagaimana keluarga, masyarakat dan kerajaan dapat bekerjasama ke arah mencungkil potensi setiap kanak-kanak.

Ia dirasmikan malam tadi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan turut dihadiri 20 menteri.
Rosmah berkata, sejarah membuktikan bahawa negara yang mengabaikan pendidikan kanak-kanak akhirnya sedar bahawa mereka akan rugi dan sukar untuk memajukan ekonomi mereka dan menjadikan masyarakat lebih makmur.

"Pendidikan serta persekitaran sosial adalah pengaruh besar ke arah menyediakan kanak-kanak dengan ilmu, nilai positif dan kemahiran yang sewajarnya.

"Oleh kerana terdapat bilangan besar golongan muda khususnya di negara membangun, jika mereka ini diasuh dengan betul, mereka akan menjadi kumpulan yang mampu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan kebajikan di peringkat global.

"Jika tidak mereka akan dipinggirkan dan terdedah kepada unsur radikal, seterusnya dengan mudah direkrut untuk elemen subversif yang boleh membawa kepada domestik dan antarabangsa yang tidak selamat dan tidak stabil. Mereka mungkin menjadi liar dan boleh terjebak dalam kehidupan yang menjijikan dan jenayah," katanya.

Sambil menyatakan bahawa Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Penjagaan atau ECEC merupakan perkara yang dekat dengan hati beliau, Rosmah berkata ia memberikan kanak-kanak di bawah umur empat tahun daripada keluarga yang tidak bernasib baik satu permulaan kehidupan awal.

Katanya, di bawah program PERMATA Negara yang merujuk kepada kanak-kanak sebagai permata negara, setiap kanak-kanak adalah berharga.

Bermula dengan lima buah pusat perintis pada tahun 2007, ECEC kini dilaksanakan di 500 pusat di seluruh negara yang memberikan manfaat kepada lebih 20,000 kanak-kanak dari kawasan luar bandar dan miskin di bandar.

Beliau berkata, pembinaan sekolah bagi kanak-kanak berbakat antara umur 15 hingga 17 tahun yang diuruskan terus oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini dalam proses dan pengambilan pertama kira-kira 150 kanak-kanak berbakat dalam akademik akan bermula pada Januari tahun depan.

Rosmah juga menekankan bahawa masyarakat dan negara mempunyai peranan yang sama penting dalam memupuk kanak-kanak menjadi pemimpin yang baik dan dengan itu mereka hendaklah merangka dasar yang menggabungkan stimulasi intelektual, budaya dan dimensi semangat yang boleh memupuk untuk menjadi pemimpin masa depan. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget